Header Ads

Bonda pesan jagalah sentiasa nama baik keluarga, kata Najib

 


Najib Razak berkongsi pesanan ibunya Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga.


Bekas perdana menteri itu berkata, nasihat itu akan sentiasa diingati beliau dalam menempuh hari-hari mendatang, termasuk di arena dunia politik.


“Sebelum ini bonda memang sentiasa ingatkan saya untuk kerja dengan sebaiknya dan penuh dedikasi.


“Pada bonda saya, nama keluarga amat penting untuk terus dipertahankan walaupun dalam politik yang memang tidak dapat elak menjadi kecaman, tapi kebenaran akan muncul lambat laun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai istiadat pengebumian negara ibunya di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini.



Najib berkata, banyak kenangan indah beliau bersama ibunya sejak mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun.


“Berusia 23 tahun, bonda beri sokongan dan serah pada saya apa jua keputusan. Bonda akan sokong dan memberi segala bantuan moral dan kasih sayang untuk saya berjaya.


“Bonda saya seorang yang cukup penyayang dan baik hati. Beliau telah mendidik kami semua dengan sempurna sehingga kelima-lima adik beradik mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.


“Walaupun Tun Razak sudah tiada, tapi bonda memang jadi tumpuan kami. Amat sukar kehilangan seorang ibu. Tentu kami semua rasa amat sedih, tapi ini ketentuan Ilahi.


“Bonda telah lalui kehidupan selama 87 tahun dan sampai kemuncak hidupnya dan menyaksikan anaknya membesar dan sedikit sebanyak saksikan kepuasan atas apa yang kami lakukan,” katanya.


Najib merupakan anak sulung daripada lima beradik, iaitu Ahmad Johari, Mohd Nizam, Mohd Nazim dan Mohd Nazir.



Allahyarhamah dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar, Hishammuddin Tun Hussein di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada jam 3.45 petang ini.


Rahah, 87, yang merupakan balu perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court petang semalam.


Sumber : Free Malaysia Today

No comments:

Powered by Blogger.