Header Ads

Rakyat terpesona konsep acuan Islam di Kelantan, kata Nik Amar

 


Kerajaan Kelantan dianggap negeri pertama di negara ini yang merintis pentadbiran negeri berteraskan Islam.


Sedangkan sebelum ini tidak ramai yakin kemampuan menerapkan elemen pentadbiran Islam dalam sebuah kerajaan.


Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan dianggap berjaya merintis perubahan pemikiran (paradigm) rakyat menerima pentadbiran mengikut acuan Islam.


Sedangkan katanya sebelum ini orang ramai tidak yakin Islam menjadi dasar pentadbiran dalam sebuah kerajaan.


“Tetapi bermula 1990 kita berjaya membuktikan boleh mentadbir sebuah negara yang moden dalam kerangka Islam.


“Walupun mungkin tidak sempurna tetapi banyak perubahan dan pembaharuan yang berjaya kita buat. Kita juga membuktikan ulama mampu menjadi ketua kerajaan sebuah negeri.



“Usaha itu dirintis almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 22 tahun yang kemudiannya disambung Menteri Besar sekarang Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob,” katanya di sini.


Pada Oktober tahun lepas kerajaan Kelantan menyambut ulangtahun ke-30 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) selepas menguasai negeri itu pada Pilihan Raya Umum 1990 dengan kerjasama Angkatan Pepaduan Ummah.


Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, agenda kerajaan negeri penggal ke-14 pula mempertingkatkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.


Menurutnya juga usaha tersebut digerak dengan lebih meluas melalui peruntukan khas disediakan kerajaan negeri dan dibantu kerajaan Persekutuan.


“Kita berhasrat membangun Kelantan dengan lebih rancak. Dahulu kita berlawan dengan pusat tetapi sekarang kita bersama dengan kerajaan Persekutuan dan diharap terus kekal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” ujarnya.


Kata beliau juga fokus pembangunan negeri termasuk memiliki pelabuhan, lebuh raya dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di samping menangani masalah bekalan air.


Katanya, Kelantan satu-satunya negeri di negara ini yang tidak mempunyai lebuh raya.



“Apabila projek lebuh raya tersebut termasuk dari Kota Bharu-Kuala Krai siap ia akan menjadikan Kelantan satu-satunya mempunyai lebuh raya tanpa tol di negara ini.


“Kita juga sedang merancang membangunkan beberapa lagi bandar baharu termasuk di Nilam Puri yang akan dikenali sebagai Bandar Nilam Perdana dengan keluasan hampir 1,000 ekar,” katanya.


Selain itu pembangunan baharu di Kampung Tiong berkonsep Islam iaitu Madinah Assalam yang akan muncul sebagai bandar sejahtera.


Kedua-dua projek tersebut telah diluluskan kerajaan negeri bagi merancakkan lagi pertumbuhan bandar baharu di Kelantan.


Manakala di Rantau Panjang pula dirancang projek Bandar Baru Bukit Kwong.

Begitu juga di Gua Musang dilulus kawasan seluas 1,000 ekar di Ladang Sungai Terah bagi diwujudkan bandar baharu.


“Bandar itu akan dikenali Bandar Datuk Bentara Kanan di mana projeknya dijangka bermula tahun ini,” tambahnya.

No comments:

Powered by Blogger.