Header Ads

Masya bersyukur dapat balik Kulim rai Aidilfitri



Akhirnya penyanyi Masya Masyitah dapat meraikan Syawal dengan berkumpul bersama keluarganya di Kulim, Kedah.


Tahun lalu, penyanyi lagu Hapus itu dan ibunya terpaksa terpisah dengan bapa serta adik beradiknya di Kulim, berikutan tidak boleh merentas negeri pada Aidilfitri.


Penyanyi tinggi lampai itu bersyukur dapat menyambut Aidilfitri bersama bapa, abang dan adiknya apabila diberi pelepasan selama empat hari pulang ke kampung halaman, tahun ini.


Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff dan ibunya dapat pulang beraya ke Kulim sejak 10 Mei lalu.


Sejak membina kerjaya seni, Masya ditemani ibunya tinggal di Kuala Lumpur.

"Satu nikmat tidak terkata dapat bersua dengan ayah, abang dan dua adik lelaki. Saya dan ibu lepas merentas negeri selepas membuat permohonan atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

"Biarpun hanya empat hari sahaja, tetapi saya mahu memanfaatkan tempoh ini sebaik mungkin. Saya akui, tidak sabar beraya sakan di kampung halaman.


"Pagi raya dapat bermaafan dengan ibu bapa dan adik beradik seperti sebelum pandemik COVID-19. Kali terakhir kami beraya bersama pada 2019. Saya pastinya memanfaatkan ruang peluang ini merakamkan kenangan bersama keluarga," katanya kepada BH Online.


Dalam pada itu, Masya juga teruja kerana berpeluang merakamkan lagu raya berjudul Aidilfitri Lembaran Baru bersama artis naungan Rocketfuel Records.


Selain Masya, lagu ciptaan komposer S Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa itu menampilkan nama besar seperti Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Usop dan Ruffedge.


"Lagu ini dirakamkan pada 31 Januari lalu. Setiap artis merakamkan suara masing masing pada hari yang sama, cuma waktu berbeza.


"Ini lagu raya kedua selepas Sempurna Seadanya yang dinyanyikan secara solo. Cuma, kali ini saya menyanyi secara teman lain," katanya.


Dalam pada itu, sepanjang Ramadan lalu, Masya berkata, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan biskut raya, Delici by Masya.


"Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan tempahan biskut raya sebelum pulang ke kampung. Mujur saya tinggal bersama ibu di di Kuala Lumpur, jadi dialah banyak membantu menyiapkan tempahan," katanya

SUMBER : BERlTA HARlAN

No comments:

Powered by Blogger.