Header Ads

PDRM Guna Dron Pantau Pematuhan SOP Kawasan Perumahan Ketika Perayaan Aidilfitri

 


Bermacam-macam cara dan kaedah digunakan pihak berkuasa bagi memastikan rakyat mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan di Malaysia bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021.


Sempena Aidilfitri ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan dron bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan-kawasan perumahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner M V Sri Kumar berkata, penggunaan dron terbabit bertujuan memastikan tiada sebarang peIanggaran SOP dikesan.


"Seperti diketahui rondaan polis akan dilakukan di setiap kawasan perumahan yang ada, jadi polis turut menggunakan pendekatan dikendalikan unit kawalan udara PDRM ini.



"Penggunaannya bagaimanapun adalah tertakluk kepada permintaan setiap ketua polis daerah di sesebuah negeri untuk mengaplikasikan penggunaan dron bagi membuat pemantauan di kawasan perumahan dikehendaki," katanya kepada Bernama pada Selasa.


Beliau berkata, bagi kawasan perumahan seperti apartmen dan sebagainya, polis akan membuat semakan ke atas setiap buku pelawat di premis terbabit.


"PDRM bertindak demikian supaya tiada yang didapati meIanggar SOP berkunjung ke sesebuah rumah seperti mana diarahkan kerajaan. Ia merupakan antara bukti yang boleh digunakan bagi menandakan sebarang bentuk kehadiran orang awam di sesebuah premis seperti itu.


"Bagi tujuan itu juga orang ramai dalam masa sama dinasihatkan melaporkan sebarang peIanggaran SOP semasa perayaan Aidilfitri dilakukan di kawasan kejiranan mereka kepada pihak poIis," katanya.


Ditanya mengenai kawalan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan menghubungkan sempadan daerah dan negeri, Sri Kumar berkata, ia tidak terkecuali berikutan pemeriksaan akan turut diadakan terutama di laluan tikus.



"Jika di kawasan bandar, SJR dilaksanakan di pelbagai tempat namun ia tidak terkecuali di kawasan seperti luar bandar.


"Bermula di peringkat kontinjen sehinggalah pondok polis, setiap pegawai dan anggota dikerahkan bertugas dan memastikan setiap laluan tikus terbabit dibuat pemeriksaan ketat," katanya.


Beliau berkata, tindakan mengarahkan orang awam supaya berpatah balik kerana tidak mempunyai sebarang dokumen lengkap untuk merentas daerah dan sebagainya akan dilakukan manakala sebarang peIanggaran SOP akan dikenakan kompaun.


Jelas beliau, tindakan dilakukan pihak polis itu bukanlah bertujuan menekan orang awam sebaliknya bertujuan untuk menguatkuasakan peraturan ditetapkan. - Bernama

No comments:

Powered by Blogger.