Header Ads

Dulu Musang King, kini giliran Tupai King 'menghantui' hidup penggemar durian

 


Bentuk durian Tupai King yang menyamai durian Duri Hitam (D200) dan rasanya seperti durian Tekka (D160) atau Musang Queen antara faktor ia menjadi buuruan penggemar raja buah itu.


Populariti itu juga menjadikan benih dan buah Tupai King yang didaftarkan dengan nama D214 dijual pada harga tinggi.


Pekebun, Md Mujahid Rahmat, 53, yang juga pemilik Dusun Tok Bak di Kampung Sri Aman, di sini, berkata, pokok durian Tupai King dipercayai berusia antara 10 hingga 15 tahun.


Menurutnya, pokok Tupai King hanya ada di Pulau Pinang dan harganya tinggi kerana dibawa keluar dari negeri berkenaan.



"Setahu saya, belum ada pokok Tupai King di tempat lain di Malaysia kecuali dekat Pulau Pinang, itu pun hanya satu atau dua saja. Durian itu semakin dikenali selepas ada individu bercakap mengenai keenakan rasanya.


"Hakikatnya, belum ramai yang sudah menikmati durian berkenaan tetapi jadi popular sejak tahun lalu kerana hebahan mulut ke mulut. Harganya kini mencecah RM100 sekilogram (kg) walaupun tidak tahu keasliannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Md Mujahid berkata, harga anak pokok durian Tupai King saja boleh mencecah RM150 bagi ketinggian 0.31 meter (m).



Katanya, dia sendiri ada menanam pokok Tupai King tetapi masih baru dan baru mencapai ketinggian 0.91 m.


"Saya juga tanam sebatang pokok Tupai King dan dapat benihnya daripada rakan, kiranya masih baru dan lama lagi untuk berbuah.


"Ikutkan, cara penjagaan pokok durian Tupai King sama saja dengan durian jenis lain iaitu perlu cukup air dan tidak boleh berlebihan cuma penggunaan baja saja berbeza.


"Dengan prosedur operasi standard (SOP) penjagaan dan pembajaan yang teratur pokok durian akan mula berbunga dan berbuah pada usia tiga hingga empat tahun," katanya.


Katanya, sebatang pokok durian matang boleh menghasilkan antara 100 hingga 300 biji durian.


"Semakin matang usia pokok durian, lebih enak rasa buahnya. Begitu juga dengan durian Tupai King yang mempunyai rasa agak pahit, sedikit manis dan ramai menyamakannya dengan Musang Queen," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.