Header Ads

Permohonan i-Citra dibuka esok, pembayaran pertama pada bulan Ogos

 


PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok.


Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan memberitahu, permohonan yang boleh dibuat melalui icitra.kwsp.gov.my itu hadir tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.


Menurut KWSP, pencarum dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi memudahkan ahli mengemukakan permohonan dalam i-Citra.


Katanya, ia penting bagi urusan penerimaan one-time password (OTP) di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran berkenaan.


“I-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.


“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.


“Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.


Menurut KWSP, maklumat lanjut mengenai i-Citra serta cara membuat permohonan boleh dirujuk di laman komunikasi rasmi KWSP, laman web www.kwsp.gov.my atau menghubungi talian i-Citra 03-89224848.



Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akhir bulan lalu mengumumkan lanjutan pengeluaran wang caruman KWSP sehingga RM5,000 melalui kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.


Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan sehingga RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.


Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula memaklumkan KWSP akan menggunakan dana simpanan dalam Akaun 2 pemohon bagi pengeluaran i-Citra.


Hanya sekiranya dana Akaun 2 tidak mencukupi, barulah KWSP akan membenarkan pemohon mengakses Akaun 1.


Inisiatif i-Citra itu dijangka dapat memanfaatkan 12.6 juta ahli KWSP yang layak menikmatinya.

Sumber : UtusanTV

No comments:

Powered by Blogger.