Header Ads

Azzam dan Sheryl Shazwanie bakal kahwin tahun depan

 


Penyanyi Sheryl Shazwanie, 24, mengakui dia dan kekasihnya juga penyanyi, Azzam Sham, 24, merancang berkahwin pada tahun depan.


Menurut Sheryl, perancangannya bersama Azzam untuk menamatkan zaman bujang mereka sudahpun dikongsikan buah hatinya itu sebelum ini dan ia bukan rahsia lagi.


"Kami pun sudah lama rapat dan kedua-dua belah keluarga merestui hubungan ini. Jadi, sudah sampai masa kami memikirkan untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan.


"Ikutkan perancangan awal, nak bertunang dulu pada tahun ini. Tapi situasi pandemik Covid-19 yang belum menampakkan tanda reda dan kes jangkitan harian pun masih tinggi, maka kami rancang terus  berkahwin tahun depan," katanya kepada Harian Metro.


Ditanya mengenai tarikh yang sudah dipilih untuk majlis perkahwinan itu, Sheryl berkata belum dapat dipastikan lagi kerana bergantung juga pada situasi semasa pandemik ini.



"Bagaimanapun, jika keadaan C0vid-19 ini masih sama juga tahun depan, saya dan Azzam mungkin akan buat majlis nikah dahulu, manakala resepsi pula dirancang kemudian. Kami juga sepakat buat yang wajib iaitu nikah dalam majlis sederhana.


"Memandangkan keadaan wbak ini berlaku sejak tahun lalu, banyak kekangan pergerakan dan arahan prusedur operasi standard (SOP) perlu diambil kira. Jadi, kami sedia maklum nak buat meriah sangat pun tak boleh," katanya.


Mengulas kesediaan dirinya untuk menggalas tanggungjawab seorang isteri, Sheryl berkata tahun depan dia sudah berusia 25 tahun. Katanya, ia adalah usia yang dianggap sesuai bagi wanita untuk berumah tangga.


"Saya sudah bersedia sepenuhnya kerana usia pun makin meningkat. Tahun depan, saya dan Azzam sudah berusia 25 tahun dan kami yakin sudah sampai jodoh untuk bina kehidupan bersama.



"Apapun, semoga segala urusan perkahwinan yang kami rancang ini berjalan lancar. Saya juga berterima kasih kepada semua peminat yang positif menyokong hubungan kami selama ini," katanya.


Terdahulu, hubungan percintaan pasangan selebriti muda ini mula jadi perhatian pada tahun lalu selepas kedua-duanya secara terbuka mengakui mereka sedang menjalin hubungan rapat.


Malah, mereka juga sudah membiasakan dengan panggilan 'sayang' di antara satu sama lain. Bahkan, ketika Azzam menyertai Big Stage musim ketiga dan bergelar juara pada tahun lalu, setiap minggu Sheryl akan muncul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk memberi sokongan.


Sementara itu, dalam kerjaya nyanyian diceburi, Sheryl pernah popular dengan lagu Perasaan dan Jangan Ragu, manakala Azzam pula menerusi lagu Biar Saja dan Cinta Jangan Pergi. 

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.