Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyarankan industri perbankan yang mencatatkan keuntungan tahun ini untuk mengecualikan pembayaran faedah moratorium.
Beliau berkata, perkara itu berikutan industri perbankan dijangka menambah keuntungan secara ketara tahun ini berbanding 2019.
Malah katanya, seperti yang ditunjukkan oleh Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang mencatat keuntungan yang lebih baik berbanding tahun lalu untuk separuh tahun pertama tahun ini.
“Berapa banyak syarikat yang akan berada di zon selesa yang sama seperti Maybank dalam menikmati keuntungan yang lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu?
“Atas sebab ini, industri perbankan perlu berkongsi nasib baik mereka dengan pelanggan mereka dengan mengecualikan pembayaran faedah semasa tempoh moratorium pinjaman.
“Mengambil faedah dan keuntungan daripada peminjam yang mengalami kesusahan bukanlah cara ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri yang baharu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, menurut Ahli Parlimen Bagan itu, keuntungan bersih Maybank untuk suku kedua berakhir 30 Jun lepas meningkat dua kali ganda kepada RM1.96 billion daripada RM941.73 juta tahun lalu.
Maybank mencatatkan keuntungan bersih RM2.39 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM2.05 bilion tahun lalu.
Sumber : utusan Online