Tiada siapa menyangka belalang dimasak kerutuk atau goreng kunyit menjadi pilihan orang ramai sekali gus membantu dua beradik menjana pendapatan sampingan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Emi Zuhaida Husain, 35, berkata, dia dan adik bongsunya, Emi Zuhaika Husain, 25, mengambil bekalan belalang sudah siap dimasak daripada pembekal di Pasir Puteh dan mereka menyediakan khidmat urus niaga secara tunai (COD) untuk menghantar makanan eksotik itu kepada pelanggan.
"Ada di antara mereka yang membeli belalang goreng berempah ini sekadar untuk mencuba keenakannya dan dalam masa sama makanan eksotik ini juga mendapat permintaan daripada pelanggan dari luar Kelantan. Setakat ini kami sudah menghantar secara pos ke Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
"Dengan adanya penggemar belalang goreng berempah atau makanan eksotik ini, kita boleh sama-sama mencari pendapatan sampingan untuk menampung keluarga," katanya ketika ditemui di Kok Lanas, di sini, hari ini.
Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, dalam sehari dia mampu menjual belalang goreng berempah antara 15 hingga 20 botol berharga RM16 untuk 100 gram.
"Belalang ini digoreng secara berempah dan adunan rempah itulah yang membuatkan rasanya begitu unik dan sedap selain mempunyai rasa lemak santan, manis, masin serta kerangupan menjadikan ia menu yang paling dirindui.
"Apabila menjual belalang goreng berempah ini, saya juga akan teringatkan zaman kanak-kanak, di mana kami adik beradik selalu berebut hendak makan belalang goreng yang dimasak oleh ibu, Mek Yah Hamat, 64," katanya.
Sementara itu, penggemar belalang goreng, Norizan Mustapa, 42, berkata, belalang dianggap sebagai makanan eksotik dan selain rasanya yang enak, ia juga dikatakan berkhasiat serta mampu menyelesaikan masalah kesihatan yang dihadapi.
"Bagaimanapun hanya saya yang memakannya kerana anak-anak tidak menggemarinya, mungkin asing kepada mereka dan tidak berani membiasakan diri dengannya," katanya.
Sumber : Harian Metro