Header Ads

'Hantu' ketuk pintu kembali mengganggu penduduk

 


Misteri bunyi ketukan pintu yang pernah menggemparkan penduduk daerah Sabak Bernam dan Tanjong Karang pada November tahun lalu, berulang kembali apabila beberapa penghuni mendakwa diganggu kejadian sama.


Suri rumah, Rohana Ariffin, 54, berkata, pintu bilik tidur kediamannya di Batu 11, Jalan Bernam, di sini, diketuk dari luar dengan kuat oleh seseorang seolah-olah dalam keadaan marah.


Dalam kejadian jam 7.50 malam semalam, dia bersendirian di rumah manakala suaminya, Mohd Subekhi Kasiman, 56, berada di surau menunaikan solat Maghrib.


"Sebelum kejadian, saya menyidai pakaian di bahagian belakang rumah dan masuk ke dalam bilik untuk berehat seketika.


"Tidak lama kemudian, satu ketukan kuat berlaku sebanyak empat kali. Ketukan itu berlaku dalam sekelip mata menyebabkan badan saya menggigil dan lutut pula menggeletar.


"Malah, saya cuba mencapai telefon bimbit yang berada di atas katil, tetapi kudrat itu terhenti disebabkan ketakutan dialami," katanya semalam.


Rohana berkata, kejadian itu menyebabkan dia hanya mendiamkan diri di dalam bilik sementara menunggu suaminya pulang dari surau.


"Kejadian ini menimbulkan tanda tanya kepada saya sebab tiada sesiapa di luar termasuk kenderaan yang keluar dan masuk dari kawasan rumah.


"Kalau anak-anak balik, biasanya mereka akan bagi salam. Begitu juga dengan orang yang datang ke rumah, mesti ada kelibat kenderaan mereka," katanya ibu kepada empat anak berusia 22 hingga 36 tahun.



Sementara itu, seorang penduduk, Nuraziela Masri, 30, berkata, adik lelakinya juga menjadi mangsa ketukan pintu misteri itu, dua minggu lalu.


Dia berkata, Fahmi Masri, 29, yang tinggal bersama isteri dan dua anak di Taman Ria Mas di sini, mengalami gangguan pada jam 1 pagi.


"Waktu kejadian, mereka sedang tidur sebelum dikejutkan dengan ketukan yang kuat pada pintu dapur belakang.


"Apabila adik pergi menjenguk pintu belakang, dia terdengar pula ketukan pada pintu gelongsor di hadapan. Apa yang menghairankan, gangguan itu berlaku kurang daripada tempoh dua minit," katanya.


Noraziela berkata, adiknya lelakinya bertindak membuka pintu dan mendapati tiada sesiapa di luar.


"Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, dia memainkan ayat suci Al-Quran melalui radio kecil sehingga suasana menjadi reda," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.