Header Ads

Menginap tiga hari dua malam di kedai akuarium

 


Penafian : Gambar hanya sekadar hiasan

ISNIN lalu, Merak Jalanan singgah di sebuah kedai akuarium berhampiran rumah. Bukan sengaja mahu keluar mencuci mata tetapi kerana makanan ikan hiasan di rumah Merak Jalanan sudah kehabisan.


Sampai di pintu kedai, Merak Jalanan mengimbas kod QR MySejahtera dan suhu badan. Seorang pekerja kedai memeriksa MySejahtera Merak Jalanan sama ada sudah lengkap vaksin atau tidak sebelum dibenarkan masuk. Sudah dapatkan barang yang dicari, Merak Jalanan pun balik dan tidak lagi ke mana-mana.


Sehinggalah hari Rabu, Merak Jalanan baru perasan tak tekan butang check out di MySejahtera selepas keluar dari kedai akuarium tersebut.



Rupanya bukan Merak Jalanan sahaja yang mengalami situasi terlupa check out. Ramai juga mengalami insiden serupa sehingga menjadi topik perbincangan dan bahan lawak netizen di media sosial.


Merak Jalanan akui butang check out ditambah untuk mendapatkan rekod yang tepat seseorang itu berada di satu-satu tempat. Tapi kalau sudah banyak kes orang ramai terlupa check out, bermakna data yang direkodkan dalam MySejahtera itu sudah tidak lagi tepat. Jadi, apa rasionalnya menambah butang check out tersebut?


Ramai juga mengatakan penggunaan MySejahtera semakin menyusahkan apabila mereka terpaksa buat dua kerja iaitu mengimbas kod QR ketika masuk dan kini terpaksa pula menekan check out apabila keluar.



Melihat reaksi-reaksi netizen, Merak Jalanan rasa penggunaan MySejahtera sepatutnya dipermudahkan untuk menggalakkan orang ramai menggunakannya dan bukan merumitkan lagi.


Dek kerana kelalaian Merak Jalanan menekan butang check out itu juga, ia menjadi bahan gurauan kawan-kawan. Kata mereka, orang lain berduyun-duyun melancong ke Langkawi dan tinggal di hotel, tapi Merak Jalanan tiga hari dua malam menginap di kedai akuarium.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.