Penyanyi Iman Troye menjelaskan hubungannya dengan penyanyi Naim Daniel sekadar abang dan adik. Iman, 19, atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin berkata, Naim juga banyak menasihati dan memberi tunjuk ajar sepanjang pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.
"Sebelum ini saya sudah pernah jelaskan perkara ini. Sekali lagi saya nak cakap, saya anggap Naim seperti abang. Panggil pun abang, adik. Tak lebih, tak kurang.
"Kalau diikutkan memang selesa dengan dia. Kadang-kadang saya akan rujuk dia juga. Dia banyak memberikan nasihat saya dari banyak sudut," katanya kepada Harian Metro
Dalam masa sama, Iman yang popular menerusi lagu Teman berkata, dia berharap dapat bekerjasama dengan penyanyi lagu Sumpah itu.
"Sejujurnya, kalau ada peluang memang nak bekerjasama dengan dia. Ada rezeki nak sangat berduet atau menyanyikan lagu ciptaannya," katanya.
Sumber : Harian Metro