Baru-baru ini viral beberapa keping gambar yang telah dimuat naik oleh selebriti popular cantik, Nora Danish di laman sosialnya. Gambar-gambar yang telah dikongsikan oleh Nora Danish ketika bercuti di Langkawi telah
menarik minat netizen kerana dikatakan agak 'daring'.
Meskipun dikecam teruk, Nora cukup tenang tatkala berdepan dengan situasi seperti itu.
Menganggapnya tidak melakukan sebarang kesalahan, Nora menasihatkan, warga netizen yang terkesan dengan gambar dikongsi supaya berprasangka baik dan perlu melihat daripada sudut positif.
"Setiap orang mempunyai tafsiran dan penilaian yang berbeza terhadap sesuatu. Jadi, saya tidak boleh mengawalnya jika ini yang berlaku.
"Itu adalah pilihan masing-masing. Kalau fikir gambar yang dikongsi sebagai negatif, maka negatif jadinya.
"Namun, jika menilai perkongsian saya dari aspek lebih baik seperti mampu dijadikan contoh untuk memperbaiki dan mengeratkan hubungan suami isteri, sekali gus mengukuhkan rumah tangga dibina, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang bermanfaat.
"Kita kena tanamkan sifat positif dalam diri. Apabila ada pemikiran seperti ini, kita tidak akan mudah sakit hati atau menyimpan prasangka buruk terhadap kebahagiaan orang lain," katanya
Mengulas usikan penampilan yang dikatakan 'daring' apabila menayangkan bentuk tubuh, Nora menyifatkan, perkataan seksi cukup subjektif buatnya.
"Perkataan seksi sangat subjektif. Ada kala apabila nampak kereta 'sport' melintas di depan mata, secara spontan terlintas dalam fikiran seksinya, sambil memuji reka bentuk.
"Apa yang penting, saya hanya ingin menjadi diri sendiri. Tetapi, saya nak ucap terima kasih kepada netizen yang memberi komen membina. Saya sayang anda semua.
"Insya-Allah, doa baik-baik. Bagi kelompok netizen yang asyik nak kecam, hentikanlah. Perbuatan buIIi siber tidak baik sebenarnya," luahnya kepada BH Online.
Empat tahun melayari kehidupan rumah tangga bersama Nedim, pelakon yang mula menempa populariti menerusi drama komedi, Puteri itu berkata, dia sentiasa mendakap bahagia.
Nyata pengalaman silam yang pernah dilalui apabila rumah tangga dibina berkecai di pertengahan jalan membuatkan Nora dan Nedim lebih menghargai ikatan terjalin.
Harapan Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif menjelaskan biarlah mahligai dibina kekal hingga ke alam syurga.
"Ini adalah perkahwinan kedua kami. Sebelum ini, saya dan Nedim pernah melalui episod kegagalan dalam rumah tangga. Sebagai suami isteri, kami kena saling memahami dan menyokong apa sahaja dilakukan.
"Kesilapan besar yang saya nampak adalah ramai suka buat aktiviti secara berasingan dengan pasangan. Kami suka berkongsi aktiviti kerana ia akan lebih mengeratkan kasih sayang antara kami," pesannya.
Ditanya pernahkah berlaku situasi hubungan diganggu insan ketiga, Nora mengakui, ia memang pernah berlaku sepanjang empat tahun melayari bahtera perkahwinan.
"Ya, memang ada orang ketiga dalam kehidupan kami. Orang yang dimaksudkan adalah anak kami, Mohamed Neqayl atau Ney Ney. Setakat ini, kami masih mampu mengawalnya (ketawa).
"Saya selalu minta dijauhkan perkara seumpama ini. Andai berlaku masalah dalam perhubungan, kita jangan menuding jari kerana ia tidak akan membawa faedah.
"Sebaiknya kita harus muhasabah diri, cari kelemahan diri dan cuba memperbaikinya. Namun, sekiranya tidak membuat kesilapan, jangan sengaja mereka cerita untuk dijadikan alasan," ungkap Nora.
Mengulas kejayaan menembusi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 menerusi tiga kategori, Pelakon Filem Wanita Popular, Gandingan Serasi Filem Popular dan Watak Antagonis Popular, wanita kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, berita itu cukup mengejutkannya.
"Sebagai pelakon senior dan agak kurang aktif aktif sejak setahun lalu, pencalonan ini sangat mengejutkan. Lebih mengujakan apabila turut dicalonkan untuk kategori Watak Antagonis Popular.
"Jika melihat calon lain tersenarai, ramai juga pelakon senior dan baharu, mereka juga hebat. Jika ada rezeki menang, Alhamdulillah," kata Nora.
Tidak menganggap dirinya memberi cabaran kepada pelakon lain, Nora berkata, dia sebaliknya menekankan pencalonannya sebagai persaingan sihat dan memberi warna.
"Kehadiran saya bukan untuk bersaing kerana saya hanya melakukan perkara yang suka iaitu berlakon.
"Namun, jika ada melihat kehadiran saya memberi cabaran, anggap sahaja sebagai proses pembelajaran dan persaingan yang sihat," katanya.
Sumber : Berita Harian Online