Header Ads

Harga Cecah RM15 Sekilogram, Melaka Jadi Penternak Katak Baka “Bull Frog” Terbesar Dalam Negara

 


Setakat ini terdapat 11 penternak katak baka Bull Frog, jenis Rana Catesbeina yang mengusahakan ternakan itu di sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin dekat sini dan ia dipasarkan ke Kuala Lumpur dan Singapura dengan harga di antara RM10 hingga RM15 sekilogram.


Itu respons Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika diminta mengulas berkenaan laporan Utusan Malaysia semalam, berkenaan perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).


Beliau berkata, bagaimanapun, masih belum ada perancangan khusus buat industri penternakan katak, walaupun Melaka diumumkan sebagai negeri tertinggi dalam pengeluaran ternakan haiwan eksotik pada tahun lalu.


Katanya, lesen penternakan katak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala DVS pula memberikan perkhidmatan sokongan berkaitan kesihatan ternakan.


“Buat masa ini tiada perancangan khusus untuk penternak katak, DVS hanya bagi perkhidmatan sokongan berkaitan kesihatan ternakan.


“DVS tidak keluarkan lesen, cuma keluarkan sijil kesihatan bagi tujuan eksport. Biasanya lesen perniagaan daripada PBT,” katanya di sini hari ini.


Melaka terus unggul sebagai negeri pengeluar ternakan katak paling tinggi di negara ini sepanjang tahun lepas jauh mengatasi pesaingnya, Pulau Pinang dan Perak.



Menurut perangkaan yang dikeluarkan DVS, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Melaka menghasilkan 1,560,875 ekor katak pada tahun lalu.


Jumlah yang diternak tersebut meningkat sedikit sebanyak 34,875 ekor itik berbanding hanya 1,526,000 ekor haiwan amfibia itu telah direkodkan oleh agensi berkenaan pada 2019 lepas.


Secara keseluruhan, Malaysia berjaya menghasilkan sejumlah 1,775,847 ekor katak ternakan sepanjang tahun lalu, bertambah 39,247 ekor daripada sebanyak 1,736,600 ekor pada 2019.


Kredit artikel : – UTUSAN ONLINE

No comments:

Powered by Blogger.