KWSP bimbang ramai ahlinya akan hidup dalam kemiskinan pada usia tua

encik gotenks
0

 


(KWSP) telah menyatakan kegusaran mereka mengenai risiko majoriti ahlinya berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat C0vid-19 telah memburukkan keadaa menyebabkan jumlah simpanan yang tidak mencukupi.


Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata perkara ini bukan hanya akan memudaratkan kehidupan individu sahaja, tetapi juga terhadap landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga akan mencabar.


Beliau berkata pada masa ini 48 peratus ahli KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal.


Menurutnya, ini merupakan peningkatan 28 peratus ahli KWSP yang mempunyai simpanan yang amat kritikal berbanding sebelum pandeemik.


“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia pada 75 tahun, dan menjangkakan ahli KWSP mula mengeluarkan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun, simpanan yang ada perlu mencukupi untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.


“Dalam perkata ini, dengan simpanan median kesemua ahli KWSP di bawah 55 tahun berjumlah RM13,000, bermaksud RM54 sebulan untuk tempoh persaraan mereka,” katanya pada ucapan pembukaan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang berlangsung secara maya dan fizikal hari ini.


Ahmad Badri berkata simpanan median ahli KWSP pada usia 54 tahun pada RM38,000 pula bermaksud RM159 sebulan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang, dan dalam usaha ahli untuk mendapatkan semula jumlah kehilangan daripada pengeluaran berkaitan Covid-19, mereka perlu bekerja untuk tempoh tambahan empat ke enam tahun.



Sehingga 31 Okt, sejumlah RM101.1 bilion telah dikeluarkan di bawah i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Ia merupakan 22 peratus daripada program rangsangan kerajaan berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan.


Berkaitan isu kecukupan, Ahmad Badri berkata perlindungan sosial adalah hak asasi manusia untuk semua, yang merangkumi semua bentuk pekerjaan, sama ada sektor formal atau tidak.


Secara kasarnya, hanya tiga daripada 10 dewasa di Malaysia dilindungi oleh perlindungan sosial seperti skim pencen kerajaan dan perlindungan KWSP.


“Kami melihat hanya 7.5 juta daripada 23.5 juta populasi pada usia bekerja yang pada ketika ini menetap di negara ini.


“Pandemik ini juga tela merubah landskap pekerjaan ke arah tidak formal. Peningkatan dalam golongan bekerja sendiri dan tidak formal dijangka akan meningkat daripada 5.7 juta masa ini kepada 8.8 juta pada 2040,” kata Ahmad Badri.



Dalam menangani kecukupan simpanan dan pendapatan persaraan beliau berkata negara memerlukan penyelesaian yang meluas, meliputi program jaringan keselamatan yang berkesan, sistem perlindungan kitaran hayat sosial komprehensif, polisi pasaran buruh dan gaji yang teguh, pertumbuhan ekonomi yang mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga buruh, selain polisi mengalakkan automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti.


“Dalam konteks ini, KWSP ingin menyumbang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kami amat menyokong inisiatif Bajet 2022 kerajaan bagi menambah program i-Saraan dengan memasukkan mereka yang berusia 55 ke 60 tahun.


“Ini akan menjadikan i-Saraan lebih menarik kepada mereka yang berada dalam sektor tidak formal untuk menabung untuk persaraan mereka,” katanya.


Caruman Sukarela Insentif Suri, atau i-Suri yang telah disepadukan dengan Pertubuhan Keselamtan Sosial (Perkeso) dan dijenamakan semula ‘Kasih Suri Keluarga Malaysia’, membolehkan suri rumah dan balu yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih, mendapat akses kepada keselamatan sosial.


- Bernama

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top