Header Ads

Pelanggan siakap 'kayangan' tampil jelaskan apa yang sebenarnya berlaku ketika hari kejadian

 



Pelanggan yang perlu membayar sebanyak RM1,196 bagi menikmati hidangan seekor siakap ‘kayangan’ di Langkawi baru-baru ini tampil menafikan beberapa dakwaan dibuat oleh pemilik restoran berkenaan.


Menerusi hantaran terbaru dibuat di Facebook Muhammad Faris Zulkarnain, pihaknya turut menyifatkan dakwaaan pemilik restoran sebagai mengelirukan berikutan perkara sama (membayar harga mahal) turut dilalui pelanggan lain.


“Antara yang kami ingin nafikan ialah tiada makluman langsung kepada kami (daripada pemilik), apatah lagi berulang kali bahawa ikan tersebut ialah ikan pameran, begitu juga dengan makluman tentang ikan itu sudah berusia 11 tahun.


“Selain itu, tiada juga makluman kepada kami tentang berat ikan tersebut yang mencecah 7 kilogram (kg) selain ia bersaiz mega,” katanya.


Muhammad Faris turut menafikan dakwaan pemilik restoran dengan menjelaskan saiz ikan ditunjukkan kepada mereka menggunakan anggaran tangan turut berbeza dengan dipamerkan kepada media.


“Tiada juga ajakan daripada pihak sana untuk menangkap dan melihat ikan berkenaan selain kami mahu menafikan yang bersungguh-sungguh mahukan ikan siakap tersebut.


“Pihak kami berpandangan bahawa perkara itu mengelirukan dan turut membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta bersedia memberi keterangan lanjut,” tegasnya.

Susulan itu, Muhammad Faris berharap agar penjelasan itu dapat merungkai persoalan orang ramai berhubung insiden tersebut selain mahu ia dijadikan sebagai pengajaran.

Menerusi hantaran itu, Muhammad Faris turut memberikan sebanyak enam senarai pelanggan yang membuat hantaran sama berkenaan harga ‘kayangan’ yang perlu dibayar mereka bagi menikmati di restoran tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pemilik restoran terlibat menyatakan pelanggan yang memilih ikan tersebut walaupun telah diberitahu saiz ikan adalah sangat besar.

Menurut Norasyikin Musa, dia sendiri yang mengambil pesanan daripada pelanggan tersebut dan menerangkan bahawa ikan itu tidak dijual dan hanya untuk pameran.

“Saya telah mencadangkan pelanggan tersebut untuk mengambil ikan lain seperti siakap merah dan kerapu yang saiznya sekitar satu hingga 1.5 kg yang lebih sesuai untuk dijadikan hidangan,” katanya.

Sumber : -K! ONLINE


No comments:

Powered by Blogger.