Header Ads

Sotong kayangan 2 ekor RM106.60, restoran Hameediyah tampil jelaskan apa yang sebenarnya berlaku

 


Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell yang merupakan antara restoran nasi kandar popular di negeri ini menjadi topik panas dalam media sosial selepas resit hidangan dua ekor sotong berharga RM100 tular hari ini.


Salinan resit berkenaan yang menunjukkan harga bagi dua ekor sotong goreng berharga RM100 manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2) menjadi perdebatan warga maya yang menganggap harga berkenaan melampau. 


Menjelaskan perkara itu, Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga kesemua makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk  hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150. 


“Saya yang mengambil pesanan individu ini dan pasangannya yang mana mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun. 



“Sotong goreng ‘appollo’ ini tidak murah, kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” katanya di sini hari ini. 


Menurutnya, sotong goreng yang dibungkus untuk pasangan berkenaan juga bersaiz besar yang mana harganya antara RM110 dan RM120 untuk dua orang, namun dia telah memberikan diskaun kepada pelanggan terbabit. 


“Apabila pelanggan ini menempah hidangan sotong tersebut mereka tidak bertanyakan mengenai harganya. 


“Pelanggan wanita tersebut dengan jelas melihat  saya memasukkan jumlah harga sotong ke sistem pembayaran, dia tidak mengadu apa-apa ketika itu. 


“Saya tidak sangka mereka bertindak  menyiarkan salinan resit ini ke media sosial dan saya anggap mereka sengaja mahu tularkan resit ini,” katanya. 


Tambahnya, ini bukan kali pertama restoran berkenaan tular kerana harga makanan yang dijual di situ, namun bagi pihaknya kesemua harga telah dipamerkan dengan jelas di papan tanda harga. 


“Sebelum ini hidangan ayam piru turut menjadi tular kerana dianggap mahal, namun kami tidak memaksa pelanggan membelinya kerana  semua harga telah dipamerkan. 


“Saya sendiri meminta pekerja untuk memaklumkan kepada pelanggan mengenai harga hidangan tertentu yang mahal, namun mereka mungkin terlupa kerana pelanggan telah lama menunggu,” katanya.  


Sumber : -UTUSAN ONLINE

No comments:

Powered by Blogger.