Header Ads

Terpaksa puasa untuk elak beli tuala wanita, pemain biola ini kongsi kisah sedih miskin haid

 


Pemain biola, Endang Hyder berkongsi kisahnya berpuasa untuk mengelakkan kedatangan haid bagi menjimatkan wang daripada membeli tuala wanita.


Berkongsi kisah itu di blog pedulimerah.com, Endang berkata segalanya bermula apabila pandemik C0vid-19 melanda negara bermula pada Mac 2020.


"Keluarga dan saya masih mampu bertahan kerana simpanan keluarga pada ketika itu boleh dikatakan mencukupi untuk kami bertahan selama 2 tahun bagi melengkapi keperluan 6 orang.


"Namun kesihatan ayah saya merosot sejak April 2020 yang mana mempengaruhi keadaan kewangan kami baik simpanan mahupun kewangan semasa.



"Keperluan perubatan, kos berulang alik ke hospital setiap hari makin menyukarkan kami bertahan sewaktu pandemik melanda," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.


Menurut Endang, penggunaan tuala wanita pakai buang yang diperlukan olehnya menelan belanja sekitar RM60 dengan kekerapan penggantian setiap tiga jam.


"Sekitar Julai 2020, saya menyedari saya perlu mengurangkan kos bagi memenuhi keperluan makanan ibu bapa dan anak-anak maka saya beralih ke jenama tuala wanita yang lebih murah dan penggunaan jenama tuala wanita murah ini hanya menelan belanja sekitar RM15 sepanjang saya kedatangan haid.


"RM15 merupakan nilai yang kecil bagi mereka yang mampu, namun bagi keadaan saya ketika itu yang merasakan nilai RM15 boleh dibelanjakan untuk seekor ayam mentah kecil yang mampu mengenyangkan ahli keluarga selama 4 hari, maka saya mencari solusi agar saya tidak perlu membeli tuala wanita," katanya.


Bagi Endang, dia memahami mengapa ada wanita memilih untuk mengandung bagi mengelak membeli tuala wanita.


"Tujuan mereka baik untuk jangka pendek dan panjang, kerana tuala wanita itu mahal. Wang yang digunakan bagi keperluan membeli tuala wanita ini mampu memberi makanan berkualiti kepada ahli keluarga yang lainnya.



"Saya berharap kerajaan mengambil keputusan agar mampu menyalurkan keperluan tuala wanita berkualiti kepada seisi rumah seluruh Malaysia dan membantu wanita mempunyai lebih pengetahuan secara meluas agar mampu berhadapan dan menguruskan kesihatan juga kebersihan diri sewaktu mestruasi," jelasnya.


Isu kemiskinan haid di Malaysia kembali diperkatakan apabila laporan Utusan Malaysia bulan lalu memetik penemuan NGO Sanitary Bank Malaysia yang mendapati terdapat remaja perempuan daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah sanggup hamil untuk mengelak daripada membeli tuala wanita selama sembilan bulan.


NGO itu berkata ia adalah perkara biasa di kawasan luar bandar dan ramai wanita sanggup mengambil jalan mudah dengan mengandung tanpa memikirkan perkara-perkara lain yang perlu dibelanjakan apabila mereka sudah melahirkan anak.


Sejak permulaan wabaak C0vid-19, NGO lain menggiatkan usaha untuk menyediakan tuala wanita atau tuala kain alternatif kepada keluarga memerlukan, termasuk daripada komuniti miskin bandar.

Sumber : MaIaysiakini

No comments:

Powered by Blogger.