Header Ads

Keindahan keladi jadi terapi Zety, dijual RM30 hingga RM50,000

 


TAMAN Zety Roses terletak di Pantai Ali, Kuala Terengganu merupakan pusat tanaman bunga mawar tanah rendah terbesar di Malaysia. Dengan memiliki lebih 700 spesis ros, perniagaan yang diusahakan Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad sejak 2016 itu bukan sekadar menjual, tetapi turut berperanan sebagai pusat penyelidikan dan penanaman di samping terapi untuk komuniti.


Namun, fungsi taman berkenaan kini diperluaskan dengan melibatkan tanaman keladi di kawasan seluas 0.4 hektar.


Bekas pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini memberitahu, pada peringkat awal, penanaman keladi itu dilakukan secara suka-suka, namun usaha itu bertukar serius selepas mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.


Katanya, kegilaan orang ramai terhadap keladi membolehkan jualan tanaman hiasan berkenaan melonjak hampir RM100,000 pada tahun lalu, walaupun belum setahun cabang perniagaan baharunya itu dijayakan.


“Keladi mula ditanam awal tahun lalu untuk menarik lebih ramai pelanggan ke Taman Zety Roses tetapi tidak sangka sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.


“Jumlah jualan diraih itu setanding dengan tanaman ros yang saya usahakan sejak enam tahun lalu. Ia sekali gus jadi motivasi untuk saya mengukuhkan lagi aktiviti penanaman keladi,” katanya kepada Utusan Malaysia.



Hingga kini ada lebih 400 spesies, termasuk 200 merupakan hibrid Thailand buatan sendiri.



Antaranya black diamond, caladium mix color, colocasia sp, gageana aurea, 916 dan lemon gecko.


MUDAH TANAM


Sharifah Marzety berkata, sebagai pencinta flora, dia suka semua spesis dan gred keladi tanpa ada kecenderungan terhadap jenis tertentu.


Malah dia turut berhasrat untuk memiliki lebih banyak lagi koleksi keladi kerana ia merupakan terapi baharu selain bunga mawar.


“Saya bersyukur kerana berjaya merealisasikan hasrat menjadikan taman keladi itu sebagai satu-satunya pusat penyelidikan dan pembenihan di Pantai Timur, selain bagi tujuan jualan,” katanya yang menje­laskan kalau diban­ding­kan dengan dengan bunga mawar, pokok keladi lebih mudah ditanam dan diselenggara.


KELADI RM50,000


Dalam pada itu katanya, jualan keladinya kini meluas ke pasaran Thailand sekali gus menyasarkan peningkatan pendapatan kepada RM200,000, tahun ini.


Setiap keladi dijual antara RM30 hingga ke lebih RM50,000 berdasarkan spesis dan saiz.


Kata Sharifah Marzety, penggunaan baja organik dan vitamin yang diformulasi sendiri bagi pokok mawar, turut berhasil ke atas keladi, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan tanaman hiasan itu.


“Spesis paling laris colocasia. Dalam tempoh dua bulan sahaja, tingginya boleh mencecah hampir dua meter berbanding kelaziman setahun,” katanya.



BUKAN TANAMAN BERMUSIM


Kewujudan pusat penyelidikan dan pembenihan menambah keyakinan pelanggan mengenai ketahananan anak pokok ditawarkan di presmis milik Sharifah Marzety.


Katanya persepsi kononnya keladi merupakan tanaman bermusim ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sama sekali tidak tepat.


Keadaan itu mampu diubah berdasarkan pengalaman lalu mengusahakan tanaman ros.


“Dahulu semasa saya mula menjual bunga ros, ada segelintir yang mengatakan, ros tanaman bermusim. Tetapi saya berjaya membuktikan sebaliknya, apabila Taman Zety Roses menjadi tumpuan peminat bunga itu di seluruh negara.


“Saya yakin keladi juga begitu kerana kita bukan semata-mata menjual tetapi giat melakukan penyelidikan termasuk dengan UMT,” katanya.


Sharifah Marzety turut menegaskan, buat masa ini fungsi keladi hanya sebagai tanaman hiasan.


“Belum ada sebarang penemuan khasiatnya dalam bidang perubatan,” katanya.

Sumber : Utusan

No comments:

Powered by Blogger.