Header Ads

Saya Lebih Rela Pencuri Masuk Rumah Atau Pegang Ular Dari Nampak Hantu, Kata Nora Danish

 



Mengakui dia seorang wanita yang sangat takut terhadap ular, namun terpaksa membuang perasaan gentar tersebut demi memberikan hasil terbaik.


“Saya seorang yang penakut sebenarnya. Demi menghidupkan watak Syuhada dan memperhebatkan jalan cerita, saya sanggup buang rasa ketakutan dan berlakon dengan haiwan berbisa sebegitu


“Saya memang takut dengan ular sebab dia boleh membunuh tetapi inilah manisnya menjadi seorang pelakon, melakukan sesuatu di luar jangkaan,” katanya kepada Kosmo! Online.


Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif berkata demikian pada sidang akhbar virtual telefilem Survival 486 baru-baru ini.


Sempat berkongsi mengenai tahap ketakutannya terhadap sesuatu perkara, Nora mengakui rela memegang ular berbanding terserempak dengan sebarang entiti mistik atau hantu.



“Saya lebih takutkan hantu daripada ular. Pernah satu ketika sebelum berkahwin, saya biarkan pintu rumah terbuka luas walaupun tinggal berseorangan.


“Bila keluarga saya pulang dan bertanya mengapa saya biarkan pintu semuanya terbuka, saya beritahu jika ada hantu saya boleh terus berlari. Lebih rela pencuri masuk atau pegang ular daripada ternampak hantu,” ujarnya.


Dalam pada itu, dia yang pernah popular menerusi sitkom Puteri itu mengakui watak Syuhada banyak mengubahnya menjadi seorang wanita yang lebih berani dan lasak.


“Karakter Syuhada telah memberi inspirasi untuk saya mencuba banyak perkara baharu seperti aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung (hiking).


“Sejak berlakon cerita ini, saya sudah mula masuk ke hutan dan hiking. Sekali gus melawan sifat penakut yang tinggi dalam diri saya selama ini,” ujarnya lagi



Bercerita lanjut, dia turut mengakui sudah semakin ketagih melakukan aktiviti mendaki gunung sehingga telah merancang untuk meneruskan pendakiannya ke Gunung Kinabalu, Sabah tidak lama lagi.


“Semangat untuk mendaki gunung (hiking) muncul selepas saya berlakon dalam telefilem ini. Bila sudah mula masuk ke dalam hutan, rasa seronok sangat.


“Boleh dikatakan saya sudah ketagih aktiviti hiking, sehari tidak melakukannya, rasa rindu. Insya-Allah pada bulan Mac nanti, saya merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu sempena ulang tahun kelahiran ke-40.


“Sekurang-kurang ada juga aktiviti lasak untuk dilakukan kerana saya bukan wanita yang suka melakukan aktiviti sebegitu malah sejak di bangku sekolah juga saya bukan pelajar aktif dalam bidang sukan,” katanya lagi.

Sumber : Kosmo!

No comments:

Powered by Blogger.