Header Ads

Cadangan gaji minimum RM1500 tidak sesuai dilaksanakan sekarang, bimbang beri kesan kepada ekonomi, kata Tan Sri Soh Thian Lai

 


Cadangan kenaikan gaji minimum dalam keadaan banyak perniagaan masih kekal rapuh dikhuatiri memberi kesan yang tidak diingini kepada ekonomi semasa.


Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pengilang bimbang terhadap kenaikan segera gaji minimum kepada RM1,500 meningkatkan kos perniagaan yang berisiko buat mereka.


"Namun kami menerima jika kenaikan ini dilaksanakan secara beransur-ansur di bawah semakan gaji minimum semasa yang akan diputuskan Majlis Perundingan Gaji Negara.


"Ia sedikit sebanyak akan dapat berupaya menangani kos sara hidup," katanya kepada BH, di sini.



BH hari ini melaporkan pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dilaporkan berkata walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.


Pada masa sama, Thian Lai, berkata dalam keadaan semasa pandemik di mana keadaan perniagaan kekal rapuh bagi kebanyakan syarikat, perlu diakui bahawa sebarang peningkatan kos untuk pengilang akan mempunyai kesan pengganda yang semakin meningkat kepada ekonomi.


Beliau berkata, industri terus menghadapi risiko pandemik, yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global, sambungan logistik, harga komoditi dan tenaga serta bekalan buruh, sekali gus boleh menjejaskan usaha pemulihan perniagaan.



"Oleh itu, sebarang cadangan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 daripada RM1,200 sekarang akan memberi kesan yang tidak diingini kepada ekonomi terutamanya dalam keadaan semasa.


"Majikan juga akan sentiasa memastikan sebarang kenaikan dalam gaji minimum mesti sepadan dengan peningkatan produktiviti berikutan sebarang kenaikan mendadak dalam kos gaji boleh menjejaskan kos keseluruhan dan daya saing perniagaan," katanya.


Beliau berkata, dengan kawalan diperlukan ke atas peningkatan kos oleh kerajaan selain usaha bersepadu industri untuk membiayai kenaikan kos secara dalaman, majikan boleh terus memastikan pekerja tidak terjejas.


Katanya, ia boleh dilakukan dengan majikan menyediakan pelarasan gaji tahunan kebanyakannya bergantung kepada prestasi perniagaan.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Powered by Blogger.