Header Ads

Melayu sangka menara pencakar langit milik mereka

 


DI Kuala Lumpur, ada banyak bangunan pencakar langit yang dibanggakan oleh orang Melayu, seolah-olah mereka memilikinya. Ia termasuklah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Daya Bumi dan Menara Telekom.


Malah, menara Merdeka 118 yang sedang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) pun mendapat sanjungan orang Melayu.


Mungkin akibat perang saraf dan laporan memuja-muja oleh media arus perdana, orang Melayu mendapat gambaran seolah-olah bangunan-bangunan ikonik itu adalah milik bangsa mereka atau untuk mereka.


Hakikatnya, bangunan berkenaan bukan milik orang Melayu. Ia milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Justeru, ia milik semua rakyat Malaysia.


Ruang dalam bangunan-bangunan itu ditawarkan untuk dijual atau disewa tetapi bilangan orang Melayu yang mampu mengambil peluang tidak sampai sekelumit.


Bukan kata hendak membeli atau menyewa, hendak menumpang berniaga di bawah bayang-bayangnya pun orang Melayu tidak mampu atau tidak dibenarkan.


Malah, lebih membimbangkan adalah dalam perlumbaan membina pencakar langit, bukan sahaja kepentingan Melayu terabai, malah dikorbankan.



Misalnya, Merdeka 118 yang dianggarkan menelan belanja RM5 bilion. Apakah pulangan yang boleh diharapkan pelabur skim amanah saham tajaan PNB?


Silap-silap bukan sahaja mereka tidak mendapat apa-apa keuntungan, sebaliknya belanja membina menara itu akan dibebankan ke atas mereka.


Malangnya, oleh sebab ramai orang Melayu tidak faham hal berkaitan ekonomi dan perniagaan, maka mudahlah bagi kerajaan dan GLC mengaburi mata mereka atau tidak memberitahu apa-apa kepada mereka.


Itulah yang kerap terjadi. Projek yang dilancarkan atas nama bumiputera atau yang orang Melayu sangka milik mereka, sebenarnya tidak sedikit pun ada kaitan dengan mereka.


Contoh terbaharu angan-angan orang Melayu adalah kehebohan mengenai pemilikan dan cadangan penjualan Menara Telekom setinggi 55 tingkat di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.


SYARIKAT AMANAH DIPERKENANKAN TELEKOM?


Boleh kata semua orang, bukan Melayu sahaja menyangka bangunan ikonik yang kononnya berilhamkan rebung itu milik Telekom Malaysia Berhad. Rupa-rupa tidak.


Kita dimaklumkan oleh Telekom bahawa bangunan didudukinya itu bukan miliknya tetapi dipunyai sebuah syarikat bernama Menara ABS Bhd.


Syarikat itulah kini menawarkan bangunan tersebut dan tiga buah lagi bangunan berkaitan Telekom untuk dijual. Namun, apabila dibuat carian melalui internet, kita dapati macam ada tipu helah pula.


Mengikut laporan perkhidmatan berita perdagangan Theedgemarkets pada10 Februari lalu, Menara ABS Bhd adalah syarikat amanah bertujuan khas yang diperkenankan Telekom Malaysia.



Maksudnya, Telekom telah mengilhamkan penubuhan syarikat amanah hartanah itu bagi mengambil alih bangunan-bangunan miliknya.


Menurut laporan itu lagi, Menara ABS Bhd telah berhutang melalui penjualan bon syariah (sukuk) bernilai RM1 bilion pada 2008.


Boleh jadi duit hutang itulah yang digunakan untuk membeli bangunan-bangunan Telekom. Bangunan yang ditawarkan untuk dijual oleh Menara ABS Bhd ialah Menara Telekom, Menara TM Semarak, Wisma TM Taman Desa dan Kompleks Telekom Cyberjaya.


Kalau betullah bacaan penulis, langkah menjual Menara Telekom dan tiga bangunan lain yang menggunakan nama Telekom adalah serupa dengan penjualan aset oleh tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC untuk mendapatkan pendapatan luar biasa.


Inilah antara pilihan kegemaran pengurus-pengurus GLIC dan GLC apabila menghadapi masalah kewangan atau memperoleh pendapatan tambahan luar biasa.


Yang kita ketahui daripada laporan media massa, Telekom tidaklah pula mengalami kerugian atau apa-apa masalah kewangan kecuali sekali dalam dua tiga tahun terakhir ini.


Cuma disebabkan banyak masalah dan hal-hal tidak betul berlaku di pelbagai GLIC, GLC dan agensi-agensi penguat kuasa sejak kebelakangan ini, setiap perkembangan berkaitan mereka hendaklah diteliti serapat-rapatnya.


Kita tidak mahu badan-badan berkenaan diuruskan dalam kerahsiaan, seolah-olah mereka kongsi gelap atau kebal daripada tindakan undang-undang. Wallahuaklam.


* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Sumber artikel : Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.