Header Ads

Mercedes-Benz sudah, sekarang Wani Kayrie target rumah pula

 


Penyanyi dan pelakon Wani Kayrie, 21, mensasarkan hasrat memiliki rumah pula selepas berjaya membeli kereta idamannya iaitu Mercedes-Benz CLA180 berharga RM192,000, baru-baru ini.


Wani berkata, sebagai anak sulung, dia melihat sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membahagiakan keluarga terlebih dulu sebelum berkahwin suatu hari nanti.


"Selepas kereta, saya bercadang nak beli rumah pula sebagai aset peribadi. Bagi saya, selagi ada peluang rezeki ini kena berusaha memanfaatkannya untuk kebahagiaan keluarga.


"Saya ada ibu bapa dan adik-adik yang harus dijaga. Sekarang pun, fokus saya pada karier apabila peluang demi peluang datang untuk saya cuba. Syukur alhamdulillah dan saya akan berusaha lebih baik lagi untuk lebih berjaya," katanya di sidang media virtual drama 3 Nota Cinta lakonannya bersama Ashraf Muslim dan Sharifah Rose yang disiarkan di slot Akasia TV3, jam 7 malam.


Wani yang melakonkan watak Aini dan sudah berkahwin berkata, satu cabaran besar baginya sebagai wanita bujang untuk menjayakan watak itu sebaik mungkin dan mujur dia banyak dibantu pengarah.


Diusik mengenai apakah jodohnya sudah dekat, Wani berkata, buat masa sekarang dia masih solo dan tidak terfikir langsung mengenai perkahwinan.


Katanya, dia kini sudah 'move on' dalam perhubungan.


"Perkahwinan bukan keutamaan saya buat masa ini. Apa yang saya fokus sekarang, urusan kerja. Soal jodoh, biar Allah yang tentukan dan saya takkan sorok jika sudah bertemu calon nanti.



"Cuma, saya selesa berkawan dengan sesiapa saja. Malah, bekas kekasih dulu pun ada yang dah datang semula. Tapi, untuk saya cukup sekadar kami berkawan saja kerana sudah 'move on'," katanya.


Wani berkata, selepas terpalit pelbagai kontroversi sebelum ini, dia sangat berhati-hati dan begitu menjaga dirinya dalam pelbagai aspek dan mahu bakatnya yang lebih dikenali.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.