Header Ads

Anggap Allah sedang uji Zul Ariffin, Nabil minta netizen buang sifat iblis dalam diri...

 


SEDIH melihat rakan artis dikecam, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad menganggap apa yang berlaku terhadap Zul Ariffin berkaitan kontroversi klip video ghairah adalah ujian buat aktor itu.


Mengakui apa yang terjadi sebagai sesuatu yang salah, namun Nabil, 39, berkata kecaman dan hentaman secara berterusan tidak seharusnya berlaku.


Malah, Nabil berharap orang ramai tidak terikut-ikut dengan sifat iblis yang terus menghentam dan mencari kesilapan orang lain.


"Saya melihat ia sebagai satu ujian buat Zul. Allah akan menguji orang-orang yang beriman. Kita harus melihat dari perspektif sebegitu.


"Sepatutnya lebih banyakkan berdoa dari terus menghentam apabila perkara ini berlaku. Kita kena buang sifat iblis yang ada dalam diri.


"Janganlah kita asyik nak cari kesalahan orang lain," katanya kepada mStar.


Nabil ditemui ketika majlis pelancaran restoran pertama miliknya iaitu Human Gang yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.


Dalam pada itu, kata Nabil, perkara yang berlaku ini juga menjadi satu peringatan buat dirinya bahawa dunia kita menuju ke akhir zaman.


Justeru itu katanya, daripada terus menuding jari meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, lebih baik persiapkan diri dengan amal kebaikan.


"Saya jadi takut apabila orang mula marah dengan keadaan yang telah berlaku kerana fikirkan akhir zaman semakin menghampiri kita.



"Apabila benda ini berlaku lebih baik kita siapkan diri sendiri dengan amal dan kebaikan daripada terus menghentam orang lain," jelasnya.


Seperti yang kecoh diperkatakan sebelum ini, Zul menerima kecaman hebat selepas memuat naik video klip aksi ghairah di laman sosial miliknya pada Jumaat lalu.


Pelakon filem Sangkar ini kemudiannya memadam klip tersebut dan memohon maaf atas tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat negara ini.


Sementara itu, berkongsi tentang pelancaran restoran Human Gang ni, Nabil berkata, ia merupakan kerjasamanya bersama pelakon Saharul Ridzuan dan dua lagi rakan kongsi.


Sumber : mStar Online

No comments:

Powered by Blogger.