Header Ads

Dah 11 malam, budak 9 tahun jual mangga tepi jalan rayu borong semua baki buah sebab dah penat, esok nak bangun awal pagi ke sekolah

 


Dalam zaman yang kian mencabar ini, rata-rata antara kita sudah tidak berkira lagi dalam mencari rezeki, asalkan dapat mengalas perut demi kelangsungan hidup.


Bukan sahaja orang dewasa namun ada juga kanak-kanak yang tidak berkira untuk mencari sesuap nasi walau usia seperti ini kebanyakkannya hanya tahu bermain.


Baru-baru ini viral satu video di media sosial yang telah dikongsikan oleh seorang wanita yang memaparkan dia menemui kanak-kanak berusia sekitar sembilan tahun itu berdekatan Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru, Johor pada kira-kira pukul 11 malam Ahad.


Berkongsi pengalaman, katanya, ketika itu dia bersendirian dalam perjalanan untuk membeli burger di kawasan tersebut.


"Masa saya duduk dalam kereta sementara tunggu burger siap, ada adik ni datang ke kereta. Dia tengok-tengok sebelum saya buka tingkap.

"Saya tanya adik tu buat apa? Adik tu jawab 'Kak, tolonglah saya. Belilah buah, saya dah penat, belilah semua'. Kata-kata adik tu buat saya rasa sebak," katanya ketika dihubungi.

Dia dimaklumkan oleh kanak-kanak terbabit bahawa ibunya yang menghantarnya ke kawasan tersebut untuk berniaga buah.


"Dia cakap mak dia hantar, ada adik-beradik di rumah. Saya rasa sebak sebab nampak dia jalan seorang diri pada waktu lewat begitu.


"Ada berbaki sembilan biji mangga yang dia mahu jual kesemuanya. Mungkin dia bawa lebih banyak mangga sebelum itu tetapi sudah terjual.


"Mungkin dia ada target untuk kena habiskan buah yang dijual sebelum boleh balik. Sebab itulah dia merayu untuk saya beli kesemua buah yang tinggal. Tak tahu berapa lama dia berniaga tapi nampak dia cukup penat," ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.


Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok sehingga meraih lebih dua juta tontonan, Trisya membeli kesemua sembilan biji mangga yang berharga RM45.


Dia bagaimanapun memberikan RM50 kepada kanak-kanak itu dengan bakinya untuk tujuan sedekah, sebelum kanak-kanak itu beredar meninggalkan keretanya.


Walaupun ramai yang memuji kegigihan kanak-kanak itu menjual mangga, Trisya yang merupakan usahawa dalam bidang kontraktor bagaimanapun tidak bersetuju anak kecil itu 'dikerah' mencari rezeki bersendirian pada lewat malam.

"Saya terfikir kenapa sekarang semakin ramai budak berniaga terutama pada waktu malam. Mungkin salah satu sebabnya cara menggunakan budak-budak untuk berniaga lebih mudah.


"Tapi kena fikir keselamatan dan tumbesaran kanak-kanak. Sekarang hidup zaman moden dan negara maju, tapi taraf kehidupan masih balik ke zaman penjajahan Jepun," ujarnya.

Sumber : mStar Online

No comments:

Powered by Blogger.