Header Ads

Harga bufet Ramadan dijangka meningkat 20 peratus, kata Haziz Hassan

  




Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, menjangkakan akan berlaku kenaikan kira-kira 20 peratus bagi harga bufet Ramadan di hotel negeri ini, tahun ini.


Pengerusinya, Haziz Hassan berkata, tindakan itu disebabkan beberapa faktor termasuk kenaikan harga bahan mentah serta kos operasi.


"Bagaimanapun, ia dijangka tidak akan menjejaskan sambutan orang ramai untuk berbuka puasa di hotel kerana kerajaan juga sudah memansuhkan had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang membabitkan kumpulan ramai.


"Keputusan itu memberikan kelegaan dalam penawaran bufet berbuka puasa pada Ramadan ini," katanya selepas Majlis Pelancaran Karnival Festival Makanan MAH Negeri Sembilan 2022 sempena Ramadan di sini, malam tadi.



Majlis disempurnakan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maizin.


Sebanyak 20 hotel mengambil bahagian dalam festival berkenaan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir Ahad ini.


Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan peralihan ke fasa endemik termasuk keputusan membuka sempadan negara bermula 1 April depan.


Menurutnya, pihaknya berharap melalui pembukaan sempadan negara itu akan dapat membantu merancakkan semula perniagaan hotel dan sektor pelancongan tempatan.



"Kami juga sudah tentu bersedia untuk menyambut kehadiran pelancong-pelancong asing dan berharap sektor pelancongan dapat pulih dengan cepat sebaik pembukaan sempadan negara ini," katanya.


Sementara itu, Siti Mazlina berkata, pihaknya akan terus membantu memperkasakan semula sektor pelancongan dan perhotelan di Negeri Sembilan selepas terkesan dengan pandemlk C0vid-19.


Beliau berkata, berdasarkan sambutan kedatangan pelancong domestik terutama di Port Dickson ketika ini, pihaknya yakin sektor berkenaan akan pulih dengan cepat dengan pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.