Header Ads

Harga itik salai Kuala Pilah naik mendadak, dari RM25 kini RM40 seekor

 


Kenaikan harga makanan haiwan ternakan bukan sahaja memberi kesan terhadap peniaga ayam, malah situasi itu turut menjejaskan peniaga itik salai di sepanjang Jalan Kuala Pilah- Seremban, dekat Tanjung Ipoh, di sini.


Difahamkan, harga itik naik mendadak sejak awal tahun dengan harga mencecah sehingga RM13 sekilogram menyebabkan peniaga itik salai yang menjadi identiti Kuala Pilah itu juga terpaksa menaikkan harga jualan mereka.


Pemilik kedai itik salai, Nordiana Abd Malik Chiew, 30, berkata, disebabkan masalah kenaikan harga makanan haiwan itu, jualannya kini merosot dan hanya mampu menjual antara dua ke tiga ekor itik salai sahaja dalam masa sehari.


"Jika sebelum ini jualan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad mencecah 100 ekor, kini untuk dapat jualan 50 ekor amat susah. Kami terpaksa menaikkan harga jualan kerana pembekal juga menaikkan harga itik mentah.



"Daripada harga RM25 seekor, kini kami terpaksa menaikkan harga sehingga mencecah RM40 bergantung kepada saiz. Apabila harga naik, pelanggan akan lebih berkira untuk membeli," katanya ketika ditemui.


Nordiana yang sudah berniaga sejak lebih 10 tahun berkata, bekalan itik mentah juga sukar diperolehi dan ia juga menjadi faktor jualannya merosot kerana terpaksa menghadkan jualan.


"Sebelum ini kami menempah 500 ekor itik seminggu, namun hanya mendapat sekitar 50 ekor dan pembekal akan menghantar baki sekitar 50 ekor lagi selang beberapa hari menyebabkan jualan kami terhad.



"Sebelum ini saya ada mendengar kerajaan akan memberikan subsidi kepada penternak ayam. Jika perkara itu dilaksanakan saya meminta supaya penternak itik juga mendapat subsidi berkenaan," katanya.


Muhamad Abd Rauf, 61, berkata, pembekal menaikkan harga itik mentah dengan memberikan alasan harga makanan haiwan ternakan naik, namun peniaga produk akhir terpaksa menerima kesan.


"Sejak awal tahun sehingga Mac, harga itik terus naik dan ketika musim perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini harganya naik mendadak selain bekalan itik juga terputus menyebabkan kami tidak dapat beroperasi selama seminggu.


"Memang itik bukan makanan keperluan seperti ayam. Namun jika perkara seperti ini berterusan, itik salai yang menjadi ikon Kuala Pilah akan terkubur jika kerajaan tidak dapat mengawal harganya.


"Saya berpendapat pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat memantau harga itik mentah sekurang-kurangnya meletakkan harga maksima," luahnya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.