Header Ads

Jangan berharap gaji naik tahun ini, kata Syed Hussain Syed Husman

 


Pekerja mungkin tidak dapat menikmati kenaikan gaji seperti yang dijangkakan pada tahun ini, menurut majikan dan kumpulan perniagaan.


Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, terlalu awal untuk mengatakan sekiranya majikan dapat memenuhi jangkaan pekerja berhubung kenaikan gaji memandangkan mereka masih dalam mod pemulihan.


“Pekerja perlu mengambil kira bahawa kebanyakan perniagaan masih cuba pulih daripada kemerosotan teruk yang dialami akibat pandemik C0vid-19 pada 2020 dan 2021 serta banjir besar akhir tahun lalu,” katanya kepada FMT.



Beliau berkata, sekiranya ada kenaikan gaji, ia akan lebih rendah pada 2022 berbanding 2021.


“Kajian MEF mendapati pada 2021, purata kenaikan gaji untuk eksekutif dan bukan eksekutif adalah masing-masing pada kadar 4.4% dan 4.43%,” katanya.


“Bagaimanapun unjuran purata kenaikan gaji pada 2022 adalah lebih rendah, iaitu pada 4.37% untuk eksekutif dan 4.17% untuk bukan eksekutif.”


Ini susulan kajian oleh firma pengambilan pekerja Hays Malaysia yang mendedahkan bahawa lebih 80% profesional di Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan gaji pada 2022 dengan 19% daripada mereka melihat kenaikan antara 6% hingga 9% manakala 24% pula berharap kenaikan sebanyak 10% atau lebih.



Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) pula berkata, terdapat dua sebab ketidaksepadanan antara kemahuan pekerja dengan apa yang boleh diberikan oleh majikan.


“Pertama sekali, kos sara hidup melonjak akibat pandemik,” kata Pengarah Eksekutif MICCI Shaun Cheah.


“Keduanya, terdapat kekurangan bakat profesional yang serius kerana terdapat kekurangan graduan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam perancangan kebolehkerjaan.”


Katanya, memandangkan terdapat lebih banyak permintaan berbanding bekalan bagi bakat profesional, mereka boleh meminta imbuhan yang lebih tinggi walaupun majikan mungkin tidak berada dalam kedudukan kewangan yang baik untuk menyamai harga mereka.


Cheah juga berharap Kementerian Sumber Manusia mempunyai dasar yang lebih longgar bagi membantu syarikat pulih secara berterusan.

**Artikel diambil dari FreeMaIaysiaToday

No comments:

Powered by Blogger.