Header Ads

Kos pinjaman kerajaan bertambah RM830 juta setahun kerana pengeluaran KWSP, kata Menteri Kewangan

 


Impak negatif pengimbangan portfolio Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat pengeluaran ahli telah menyebabkan kos pinjaman bagi kerajaan di masa hadapan meningkat melalui tambahan bayaran faedah berjumlah RM830 juta setahun.


Secara keseluruhan, ahli KWSP mempunyai akses bagi sehingga RM71,000 dalam dana persaraan itu melalui tiga program pengeluaran khas iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang telah memberi manfaat kepada lebih 7.3 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.7 juta ahli dengan pengeluaran berjumlah RM101 bilion.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang telah meningkat dalam kadar purata 100 mata asas berbanding suku ketiga tahun 2020


"Jumlah pinjaman kasar bagi MGS adalah RM83 bilion bagi keseluruhan tahun 2021. Ini bermakna kerajaan telah menanggung tambahan bayaran faedah berjumlah RM830 juta setahun.


"Jumlah ini sepatutnya dapat digunakan bagi pelbagai program dan bantuan kewangan untuk rakyat. Kenaikan lanjut kadar faedah ini juga akan menyebabkan kerugian yang lebih besar, serta terus meningkatkan sentimen negatif peserta pasaran terhadap pasaran kewangan tempatan," kata Tengku Zafrul.



Beliau menambah pengimbangan portfolio oleh KWSP akan memberi impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan.


Tengku Zafrul berkata, sekiranya pengeluaran dana ahli KWSP sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ (sekali sahaja) dibenarkan, ia akan melibatkan seramai 6.3 juta ahli yang layak dan menyebabkan kemungkinan pengeluaran tambahan berjumlah lebih dari RM63 bilion.


"Sekiranya ini dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio. Untuk itu, KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran yang tidak menentu terutamanya dengan krisis Rusia-Ukraine yang berlaku baru-baru ini," katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.