Header Ads

Pencarum diharap gunakan duit KWSP sebaiknya, kata pakar kewangan

 


Pencarum yang mahu membuat pengeluaran khas RM10,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diharap dapat memanfaatkan inisiatif itu dengan sebaiknya.


Pakar Kewangan Islam dan Fintech Muhamad Fahmi Mustafa berkata, kebenaran pengeluaran itu diharap dapat mengurangkan beban individu yang benar-benar terjejas dan memerlukan.


"Kita perlu tahu sama ada kita tergolong dalam kalangan individu yang benar-benar memerlukan seperti terperangkap dengan hutang tertunggak yang banyak atau berisiko untuk bankrup.


"Jika ya, kita boleh mempertimbangkan keputusan untuk pengeluaran demi kesinambungan hidup. Kita juga harus melihat sama ada kita mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi.


"Sekiranya tidak ada simpanan kecemasan, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk membuat pengeluaran. Jika tidak, elok simpan sahaja dalam KWSP kerana ia adalah simpanan yang selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.



Muhamad Fahmi berkata, dalam pengurusan kewangan, lebih banyak yang perkara negatif berbanding positif mengenai pengeluaran KWSP kerana ia membabitkan keselamatan masa depan.


"Kita perlu meneruskan kehidupan tanpa gaji ketika kita bersara nanti. Keperluan ketika itu juga masih besar seperti pembelajaran anak, anak berumah tangga, anak beli rumah dan lain-lain.


"Justeru, kita kena matang dan berazam yang ini adalah kali terakhir kita melakukan seperti ini. Kurangkan kebergantungan kepada simpanan masa depan dan bantuan kerajaan," katanya.


Sementara itu, Penasihat Pengurusan Kewangan Zaidi Ismail berkata, individu yang tidak terdesak dinasihatkan supaya tidak menggunakan wang itu untuk melangsaikan hutang kerana ia akan 'hangus' begitu sahaja terutama hutang bulanan.


"Ini kerana hutang bulanan masih boleh diuruskan dengan baik. Belajar cara untuk mengecilkan ansuran bulanan dan melangsaikannya dengan cepat menggunakan lebihan aliran tunai.



"Jangan gunakan wang berkenaan untuk berbelanja sakan semasa raya kerana waktu gembira itu sekejap, namun deritanya lama kerana bukan mudah untuk mendapatkan wang terbabit.


"Pada masa sama, jangan sesekali mempersiakan wang berkenaan dengan boros," katanya.


Beliau berkata, wang itu boleh disimpan di tempat selamat yang menghasilkan dividen dan pulangan sebagai tabung kecemasan seperti di Amanah Saham Berhad (ASB), Tabung Haji atau lain-lain.


"Sebahagiannya lagi mungkin boleh ditukarkan kepada emas sebagai simpanan jangka masa panjang.


"Namun, jangan gunakan semua wang itu untuk membeli emas bagi mengelakkan modal terperangkap dan kos pencairan yang tinggi dalam jangka masa pendek," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.