Header Ads

Ratusan etnik Rohingya larikan diri dari kem di Lhokseumawe

 


Puluhan warga Rohingya yang menghuni kem pelarian Lhokseumawe, Aceh melarikan diri dan kini hanya tinggal 41 orang di kem yang dibina khas untuk warga asing tanpa negara itu.


Portal detik.com melaporkan, jurucakap perwakilan Aceh, Sepriady Utama mengesahkan seramai 67 orang warga Rohingya sudah melarikan diri dari kem itu.


"Kini hanya tinggal 41 orang di kem ini terdiri daripada 11 wanita dewasa, 11 lelaki dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.


"Selain di Lhokseumawe, 114 warga Rohingya yang lain ditempatkan di Bireuen.


"Kesemua 114 warga Rohingya itu ditemui terdampar di Desa Alue Buya Pasi, Jangka, pada 6 Mac lalu," katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat mengesahkan kedudukan pelarian minoriti Islam dari Myanmar itu.



Bagaimanapun, menurut ketua pasukan petugas Rohingya di Lhokseumawe, Ridwan Jamil, pelarian terbabit disyaki menghubungi penyeludup untuk membawa mereka menyeberangi Selat Melaka menuju ke Malaysia.


"Buat masa ini, kami tidak tahu ke mana mereka pergi, namun mereka boleh melepaskan diri jika mendapat peluang kerana memang itu matlamat mereka (untuk ke Malaysia)," katanya.


Baru-baru ini, sekurang-kurangnya 17 etnik Rohingya dari kem pelarian Lhokseumawe dan puluhan lagi disyaki penyeludup, ditahan polis beberapa ratus kilometer di selatan bandar Medan.


Menurut pihak berkuasa, bandar berkenaan kerap dijadikan lokasi persinggahan untuk menyeludup masuk ke Malaysia.


Jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Mitra Suryono, berkata semua etnik Rohingya itu sudah diminta untuk kekal di kem masing-masing berikutan risiko tinggi jika melakukan perjalanan berkenaan.



"Namun, mereka tetap pergi walaupun kami berulang kali memaklumkan mengenai bahaya dan risikonya, terutama jika menggunakan khidmat penyeludup.


"Kita perlu ingat bahawa kebanyakan mereka memiliki saudara-mara di negara lain seperti Malaysia dan ini mungkin antara sebab mereka meneruskan perjalanan," katanya.


Kumpulan hak asasi menyalahkan kerajaan Indonesia yang mengurangkan kawalan keselamatan secara drastik di kem pelarian apabila etnik Rohingya diletakkan di bawah pemantauan UNHCR bulan lalu.


Walaupun Indonesia tidak menandatangani konvensyen antarabangsa mengenai pelarian, langkah itu dilihat membelakangkan tanggungjawab melindungi mereka, kata Pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid. - AFP

No comments:

Powered by Blogger.