Header Ads

Harga naik sehingga RM5! Bazar Ramadan jadi pesta naik harga

 


Penafian : Gambar yang digun akan hanya sekadar hiasan

Kenaikan harga bahan mentah yang tinggi menyebabkan rata-rata peniaga bazar Ramadan tahun ini tidak ada pilihan lain selain menetapkan harga baharu untuk jualan mereka.


Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan peniaga mengakui terpaksa menaikkan sedikit harga makanan bagi menampung modal perniagaan.


Bagaimanapun kenaikan harga makanan di bazar Ramadan masih dianggap berpatutan oleh orang ramai yang rata-ratanya memahami situasi peniaga.


Peniaga nasi tomato dan sate, Latifah Mohd Hassan, 58, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan sate dengan peningkatan 20 sen manakala nasi tomato meningkat RM2 berbanding harga sebelum ini.


"Nasi tomato sekarang saya jual RM10 dengan satu per empat bahagian ayam berbanding RM8 sebelum ini.


"Manakala sate ayam RM1 berbanding 80 sen secucuk sebelum ini dan sate daging pula naik kepada RM1.20.



"Kenaikan ini disebabkan kos bahan mentah mahal. Pembekal ayam dan daging lembu yang dibeli menaikkan harga dua bahan mentah itu.


"Lebih merumitkan lagi apabila pembekal beritahu bekalan ayam muda sudah tidak ada.


"Jadi saya terpaksa cari sendiri di beberapa pasar borong kerana saya gunakannya untuk jualan nasi tomato," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), kelmarin.


Beliau berkata, situasi sama berlaku bagi harga sayuran yang turut mengalami kenaikan agak tinggi dan bahan kering seperti minyak masak, tomato puri serta cili kering.


Peniaga otak-otak di Bazar Ramadan TTDI, Mohd Muhaimin Md Aliman, 28, berkata, harga ayam yang meningkat di pasaran menyebabkan dia menaikkan harga jualan pepes ayam dari RM1 kepada RM1.10 manakala harga otak-otak dan satar ikan kekal.


"Kenaikan harga ini sudah bermula sejak bulan lalu. Jadi, kebanyakan pelanggan sudah sedia maklum mengenainya.


"Saya bersyukur mereka menerima dengan baik kerana faham situasi dialami peniaga," katanya.


Sementara itu, peniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja Muda Musa, Muhammad Azhari Ariffin, 32, mengakui terpaksa menaikkan harga jualannya berikutan kenaikan harga barang mentah daripada pembekal.


"Saya tiada pilihan selain menaikkan harga makanan dengan peningkatan antara 50 sen hingga RM1 untuk setiap makanan.


"Jika tidak, kami peniaga tidak akan merasai sedikit keuntungan daripada hasil jualan," katanya.


Harga naik sehingga RM5!



Lauk pauk berasaskan ayam masih menjadi pilihan utama masyarakat walaupun berlaku kenaikan antara RM3 dan RM5 seekor.


Tinjauan di bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar, mendapati ayam bakar dijual pada harga RM27 seekor berbanding hanya RM22 Ramadan tahun lalu.


Seorang peniaga ayam madu Sarawak, Abd Wafi Zainuddin, 25, berkata, walaupun berlaku peningkatan harga, tetapi sambutan masyarakat amat menggalakkan apabila mampu menjual sebanyak 80 ekor dalam tempoh dua jam.


"Kenaikan harga ayam mentah tidak boleh dielakkan berikutan kesukaran mendapatkan bekalan.


"Kami harap bekalan ayam mencukupi sepanjang Ramadan," katanya.


Abd Wafi yang menjual ayam Bakar madu Sarawak lebih tujuh tahun lalu berkata, harga ayam mentah dibelinya daripada pembekal utama RM18 seekor.


"Kita berharap tiada lagi kenaikan harga ayam berlaku sepanjang Ramadan ini," katanya.


Pengunjung, Siti Rabiatul Tajulnisa, 20, berkata, kenaikan harga bukan terhad kepada ayam, malah pelbagai barangan keperluan asas lain termasuk daging.


"Pada pandangan saya, kenaikan ini boleh mengajar seluruh masyarakat berjimat cermat dan tidak membazir," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.