Header Ads

Pegawai polis wanita bertugas seperti biasa, kata Timbalan KPN

 



Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan adil terhadap pegawai polis wanita yang dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan, baru-baru ini.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) itu masih bertugas seperti biasa.


"Siasatan kita perlu adil. Berkenaan pegawai polis yang membuat TikTok (live) semasa operasi, pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang jalankan siasatan. Kita perlu satu siasatan yang adil. Adakah keperluan untuk dia viralkan semasa operasi itu perlu?


"Mengikutkan maklumat operasi tak perlulah (bertindak demikian). JIPS akan menyiasat secara dalaman. Apa pun, semua peraturan yang ada sudah dikeluarkan, perlulah dipatuhi," katanya.


Beliau ditanya media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi, di sini, hari ini.


Ditanya mengenai ada dakwaan bahawa pegawai berkenaan pernah melakukan perbuatan sama ketika bertugas di Johor Bahru, katanya, perkara masih dalam siasatan.


Terdahulu, tular seorang pegawai polis wanita berpangkat ASP dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.


Video berkenaan dirakam pegawai wanita terbabit dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.



Dalam video berdurasi 1 minit 38 saat itu, pegawai polis wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM itu dilihat menerangkan sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.


Dia juga sempat menyampaikan salam dan memperkenalkan beberapa anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam serbuan itu.


Selain itu, pegawai polis wanita itu turut kelihatan teruja apabila siaran TikTok itu mendapat 1,900 tontonan secara langsung, sambil meminta sokongan untuk mencapai sasaran 100,000 pengikut di akaun media sosialnya itu.


Meninjau komen netizen, banyak kecaman dizahirkan terhadap tindakan itu termasuk ada mendakwa pegawai polis wanita itu mengambil peluang ketika operasi untuk mencari 'content' atau bahan bagi tujuan mempromosikan akaun TikTok

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.