Header Ads

Sam Ke Ting dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000

 


Kerani, Sam Ke Ting, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebulat suara membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.


Panel membenarkan Sam dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.


Mahkamah turut membenarkan permohonan wanita itu yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar untuk merayu sabitan kesnya di Mahkamah Rayuan.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, yang mewakili pendakwaan tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.



Oleh kerana kes itu pada asalnya bermula di Mahkamah Majistret, Sam perlu mendapatkan kebenaran untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.


Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 (atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda) terhadap Ke Ping yang diperintahkan berkuat kuasa serta merta.


Dalam prosiding itu, Abu Bakar turut menolak permohonan wanita terbabit untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.


Abu Bakar membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Ke Ting.


Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terk0rban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedeera dirempuh kereta suuspek.




Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Ke Ting tanpa memanggilnya untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.


Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Ogos 2017, seramai 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit dikemukakan di mahkamah.


Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di mahkamah Tinggi dan pada 18 Februari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahanaz Sulaiman, memerintahkan Ke Ting membela diri.


Di akhir kes pembelaan, mahkamah majistret pada 10 Oktober tahun lalu membuat keputusan melepas dan membebaskan Ke Ting daripada tuduhan berkenaan selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.


Berikutan keputusan itu, pendakwaan sekali lagi memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.