Header Ads

Saya terpaksa makan sebab mengalami gastrik dan tidak sempat bersahur, kata warga emas

 


Mendakwa terkena gastrik dan tidak bangun bersahur. Itu alasan yang diberikan oleh seorang lelaki warga emas selepas dicekup oleh penguat kuasa dalam operasi di sebuah restoran di Jalan Pendek, di sini, hari ini.


Lelaki berusia 60-an itu ditahan pada 12 tengah hari dalam operasi bersepadu antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPKB-BRI Mohd Halimie Md Salleh berkata, ketika operasi lelaki berkenaan sedang menikmati makanan dan minuman.



Katanya, selepas ditanya lelaki itu memberitahu dia mengalami gastrik dan tidak sempat bersahur menyebabkan dia perlu makan.


"Pada masa sama, seorang lelaki berusia 50-an turut ditahan ketika sedang membeli makanan di sebuah kedai di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian.


"Kedua-dua lelaki itu ditahan dan dibawa ke pejabat JAHEAIK untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 10 Enakmen Kanun Jnayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Beliau berkata, pihaknya menyita makanan dan lauk-pauk di premis berkenaan mengikut Undang-Undang (UUK) Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019 - UUK 38 (1) Kuasa Menyita barang/peralatan.



Menurutnya, operasi bersepadu bermula 9 pagi membabitkan 13 anggota MPKB-BRI, dua anggota PDRM dan 20 anggota JAHEAIK di sekitar Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian dan Wakaf Che Yeh bagi memastikan pematuhan premis makanan ke atas syarat perniagaan di bulan Ramadan dan juga kesalahan Undang-Undang Syariah.


"Operasi bersepadu dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi mengesan kesalahan yang dilakukan secara terbuka di bulan mulia ini.


"Tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang MPKB-BRI dan JAHEAIK bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang, membendung kegiatan tidak berpuasa serta keharmonian umat Islam menyambut Ramadan," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.