Header Ads

Saya terus jatuh hati bila Aizat ajak saya solat bersama, kata Elyssa Alia

 


Kekasih yang juga dikhabarkan bakal isteri kepada penyanyi Aizat Amdan, Elyssa Alia, 34, mendedahkan hatinya mula terbuka untuk menerima kehadiran lelaki itu sebagai teman hidup setelah merasakan Aizat mampu menjadi imamnya.


Kata Elyssa, di matanya, Aizat dilihat sebagai seorang lelaki berpegangan agama yang cukup dan ia menguatkan lagi nalurinya bahawa dialah lelaki tepat yang mampu membimbingnya ke jalan yang baik.


“Terus-terang, apa yang membuatkan saya suka pada dia ialah pegangan agamanya. Dia nampak sangat ‘chill’ dan tentunya semua orang nak berubah ke jalan yang baik. Aizat adalah lelaki pertama yang imamkan saya waktu bulan puasa tahun lepas.


“Jadi, ia buat saya rasa dia mampu bimbing saya ke arah lebih baik. Bagi saya, dia mempunyai hati yang sangat besar di sebalik orang tengok dia begitu.



“Sekarang ini, kalau kami pergi solat, memang dia akan jadi imam saya, Alhamdulillah,”katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Armani Entertainment Group di Hotel Hilton, di sini, semalam.


Selain itu, kata Elyssa, dia juga tidak dapat mendedahkan secara terperinci mengenai perancangan majlis perkahwinan mereka namun mengaku majlis merisik sudah diadakan pada 12 Februari lalu.


“Insya-Allah, tentunya kami akan adakah majlis besar kami nanti. Cuma, biarlah Aizat sendiri yang beritahu kepada semua, lebih manis begitu. Lagipun hubungan kami ini masih baru dan kami nak ‘take it slow’,”katanya.


Selain itu, ditanya mengenai perkenalan mereka, kongsi Elyssa, mereka awalnya menjalin hubungan persahabatan dan sering menjadi teman makan memandangkan kedua-duanya sukakan makanan.


“Peliknya, saya kenal adik dia dulu, Alif dan kawan-kawan baiknya yang lain, tapi tidak dirinya. Itulah yang dinamakan jodoh agaknya, pusing jauh macam mana pun, tetap jodoh. Nak jadikan cerita, mak saya pun kenal dengan arwah ayah Aizat.



“Bagi saya, perkenalan dan hubungan saya ini sudah diatur cantik oleh Tuhan. Kami berdua pun suka makan. Saya tak pernah kenal lelaki yang suka makan macam saya, dan dia pula tak pernah kenal mana-mana perempuan yang makan banyak daripada dia. Agaknya dari situ timbul rasa suka,”selorohnya.


Menganggap Aizat umpama sahabat baiknya, kata Elyssa, dia juga kini membantu teman istimewanya itu mengendalikan syarikat milik Aizat, Kasi Gegar Entertainment (KGE) dan menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Syarikat.


Untuk info, sebelum ini Elyssa pernah menjadi hos untuk program Jom Wayang disaluran HyppTV dan kemudian beralih ke stesen radio RAKITA sebagai seorang penyampai.

No comments:

Powered by Blogger.