Header Ads

Sesiapa yang berjaya menemui adik saya Acap sebelum raya, saya akan hadiahkan wang tunai sebanyak 12,000, kata abang Acap

 


Sudah tiga tahun peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali Acap hilang secara misteri namun keluarganya tidak pernah berputus asa berikhtiar mengesan pemuda itu.


Terbaru, abang kepada Acap, Mohd Zahiruddin Hassan melalui Facebooknya menawarkan wang tunai sebanyak RM12,000 sebagai ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menemui adiknya sebelum menjelang Syawal ini.


"Sesiapa yang berjaya menemui adik saya Acap sebelum raya, saya akan hadiahkan wang tunai sebanyak 12,000," katanya.


Mohd Zahiruddin turut meluahkan bingkisan rasa selepas keluarga menempuh pelbagai dugaan dalam usaha mencari Acap yang hilang sejak 23 Mac 2019.


"Dalam tiga tahun ini banyak sungguh kisah yang keluar mengenai Acap.



"Ironinya masyarakat lebih gemar cerita buruk dari yang sahih. Ada yang kata dia lari, ada kata dia berkahwin bunian dan tak nak balik, ada pula yang kata ditangkap jin kerana mencuri batu, makan siput dan macam-macam lagi," katanya.


Menurutnya, tidak dapat dinafikan pelbagai spekulasi bertebaran sehingga kini kerana ada individu cuba meraih perhatian dalam mencari kandungan di media sosial.


"Semua ini berpunca dari 'content' nakal Toutuber dan 'influencer' yang ketandusan idea.


"Sengaja mengetengahkan isu-isu rekaan supaya video mereka naik dan mendapat imbalan dan hasil," katanya.


Mohd Zahiruddin berkata, cerita rekaan lebih tersebar luas namun tidak memberi sebarang hasil dalam usaha pencarian sebaliknya mengundang kesedihan kepada keluarga.



"Sedarkah anda di sebalik imbalan hasil yang dapat itu, ada ibu yang sedang berduka. Ada keluarga yang sedang bersedih, ada anak kecil yang kehilangan ayah," katanya.


Menurutnya, menjelang keberkatan Ramadan, dia meminta kepada pihak berkenaan supaya berhenti mengambil kesempatan di atas kehilangan adiknya.


"Kitaran hidup kita ini pendek. Musibah boleh terjadi pada siapa saja. Jika tidak kepada diri sendiri mungkin boleh terkena pada anak isteri atau nasab keturunan. Semoga kita dilindungi Allah terhindar dari segala bencana," katanya.


Pada 24 Mac 2019, Acap dilaporkan hilang apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemukan selepas acara tamat pada 2 petang.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.