Header Ads

Ada netizen yang tak kisah bayar RM8000 sehari sewa kereta mewah demi tak nak kalah ketika balik kampung beraya


 

Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan

Gara-gara ingin nampak bergaya ketika pulang ke kampung menyambut Aidilfitri selepas dua tahun ‘terkurung’ akibat C0vid-19, ada warga kota yang sanggup berhabis duit sehingga RM7,999 sehari untuk menyewa kenderaan mewah dan supercar.


Walaupun baru saja mema­suki bulan Ramadan, sebahagian tempahan kenderaan mewah di beberapa syarikat sewa kereta di sekitar Lembah Klang telah habis ditempah untuk kegunaan hari raya.


Antara kenderaan yang mendapat permintaan luar biasa seperti Lamborghini, McLaren, Ferrari, Ford Mustang, Nissan Skyline, Mercedes-Benz dan To­yota Alphard serta Vellfire.


Mendedahkan perkara ini, Pengarah Urusan AHMJ Luxury Car Rental, Azam Junuh berkata, kesemua kereta mewah sewaan syarikatnya ketika ini sudah habis ditempah oleh warga kota yang ingin pulang ke kampung menyambut hari raya kali ini.

“Kereta mewah memang tidak cukup, paling cepat habis ditempah adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan Toyota Vellfire. Seba­nyak 25 buah kereta jenis ini yang ada dalam syarikat telah habis ditempah.


“Kereta supercar seperti Lamborghini, Ferrari, Ford Mustang, BMW serta Mercedes-Benz juga sudah ada yang tempah gara-gara dua kali Hari Raya Aidilfitri tertangguh sebelum ini akibat pandemiik C0vid-19,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.


Azam memberitahu, ada individu yang sanggup berhabis duit sehingga RM4,999 sehari semata-mata untuk memandu Lamborghini Huracan, manakala RM3,999 pula bagi sewaan kereta Nissan Skyline R35 GTR.



“Mereka yang menyewa ken­deraan mewah ini ada antaranya yang ingin memenuhi majlis sosial.


“Ada kenduri kahwin dan ada juga majlis pertemuan semula dengan rakan-rakan lama sekolah dan universiti pada hari raya nanti.


“Bagi mereka, peluang untuk berhari raya di kampung kali ini tidak boleh dilepaskan, perlu nampak lebih bergaya dan berjaya di hadapan mata kawan-kawan,” ujarnya.


Seorang lagi pengusaha sewa kereta mewah, Ashaari Usamah memberitahu, permintaan supercar dan MPV mewah untuk musim perayaan ini amat di luar jangkaan pihaknya.


Menurutnya, lebih 30 buah kenderaan mewah antaranya Lamborghini, Ferrari, McLaren, Ford Mustang, Mercedes-Benz dan Toyota Alphard serta Vellfire telah pun ditempah pelanggannya untuk hari raya nanti.


Katanya, dia akan menambah kira-kira 20 buah lagi supercar dan MPV bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.


“Paling mahal yang pelanggan sewa adalah Lamborghini Aventador iaitu RM7,999 sehari, diikuti Lamborghini Huracan dan Mercedes G63, masing-masing RM4,999 sehari.


“Kebiasaannya mereka yang menyewa kereta mewah ini untuk menghadiri majlis-majlis tertentu pada hari raya dan ada juga yang menyewa untuk membuat content di media sosial,” ujarnya.


Tambahnya, paling mendapat permintaan tinggi adalah kenderaan MPV mewah kera­na ramai yang berkeluarga besar memilih untuk menaiki sebuah kendera­an untuk pulang beraya.



“Antara yang menjadi pilihan mereka berkeluarga seper­ti Toyota Alphard, Vellfire dan juga Hyundai Starex kerana kende­raan ini besar yang boleh memuatkan ramai ahli keluar­ga,” katanya.


Ashaari berkata, pihaknya tidak menjangkakan permintaan untuk sewa kenderaan mewah meningkat pada musim perayaan tahun ini.


“Orang ramai seolah-olah ‘membalas dendam’ untuk balik kampung dan sanggup berhabis untuk menyewa kereta setelah lebih dua tahun tidak dapat pulang berhari beraya,” ujarnya.


Sementara itu, bagi pengarah Saujana Car Rental, Saiful Ishak pula, bukan sahaja kenderaan mewah menjadi pilihan ramai, namun kereta-kereta biasa juga ada yang telah ditempah.


MPV seperti Perodua Alza, Nissan Livina menjadi pilihan ramai selain Perodua Myvi, Toyota Vios dan Honda City yang turut habis ditempah untuk hari raya.


“Perodua Alza, Myvi serta Nis­san Livina juga antara pilihan ramai kerana kadar sewaannya yang murah bermula RM120 sehari selain sesuai untuk keluar­ga.


“Bagi stok kereta biasa, fokus kami kepada golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.


Kredit : Kosmo! Online

No comments:

Powered by Blogger.