Header Ads

Bukan hanya sampah tapi lampin pakai buang juga antara yang dikutip dalam tiga jam, kata penduduk Padang Tengku

 


Tempoh masa tiga jam diambil sekumpulan penduduk Padang Tengku, di sini, untuk mengutip 30 beg dipenuhi sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengguna Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Merapoh ke Gua Musang.


Penduduk Tengku Al Malek Faizal Tengku Kasim, 42, berkata dia bersama lima penduduk lain menyedari banyak sampah membabitkan jarak 400 meter laluan itu lalu mengambil inisiatif mengutip sampah sarap yang bertaburan berkenaan.


Katanya, pembersihan itu hanya dapat dilakukan hari ini kerana kebanyakan pengguna sudah pulang ke destinasi masing-masing termasuk di Lembah Klang sejak semalam.


"Kami rasa terpanggil untuk membersihkan kawasan terbabit sebab terlalu kotor dan berbau busuk serta menyakitkan mata memandang.



'Inilah keadaannya setiap kali cuti perayaan dan cuti sekolah sejak lima tahun lalu, sampah dibuang merata-rata dari kenderaan yang melalui jalan itu, " katanya.


Katanya, pelbagai sampah ditemui terutama sisa makanan, bekas makanan, polisterin, plastik, tin minuman mahupun lampin pakai buang.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustafa Long berkata, beliau memuji sikap penduduk apabila sanggup mengutip sampah secara sukarela.


Menurutnya, isu berkenaan berlarutan sejak sekian lama sekitar lima tahun lalu apabila laluan berkenaan dibuka dan masalah sampah akan muncul pada musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung.



"Saya minta pengguna jalan raya supaya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menjaga kebersihan kerana dalam Islam kita dituntut untuk mengutamakan kebersihan.


"Namun begitu, setiap kali musim cuti panjang juga laluan dari Padang Tengku ke Gua Musang dipenuhi sampah-sarap termasuk sisa makanan.


"Pengguna sepatutnya bersyukur kerana kerajaan menyediakan lebuh raya yang lebih selesa dan sewajarnya ia dijaga terutama dari segi kebersihan," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.