Header Ads

Puasa sebulan bukan maksud raya pun kena sebulan, kata Shahrizan Daud At-Turabi

 


Walaupun ibadah puasa dijalani selama sebulan ia tidak bermaksud umat Islam juga boleh merayakan Aidilfitri selama sebulan.


Ahli Majlis Dakwah Negara, Shahrizan Daud At-Turabi berkata, agama Islam mengajar umatnya untuk menyambut Hari Raya Puasa hanya sehari iaitu pada 1 Syawal.


Katanya, ia kerana hari raya yang disambut selama sebulan dibimbangi akan menganggu konsisten atau istiqamah seseorang individu terutama dalam beribadah, mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya.


"Islam ajar raya sehari sahaja iaitu pada 1 Syawal sebab itu kita (Islam) ada puasa (sunat) enam hari selepas itu yang membuktikan bahawa kita bukan raya berterusan.


"Puasa enam itu juga satu signifikan kita konsisten berpuasa selepas habis bulan Ramadan. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diiikuti dengan enam hari puasa pada Syawal, sama seperti berpuasa setahun.


"Tapi kalau puasa enam hari ini kita tidak mampu buat walaupun kita tahu kelebihan dan pahalanya, itu menunjukkan kita tidak konsisten," katanya.


Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Raya bertajuk 'Raya Sihat Macam Mana?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat malam.


Turut berganding bersama beliau sebagai panelis adalah Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia, Cheras, Dr Malar Santhi Santherasegapan dan Selebriti Kesihatan, Hanif Loid manakala Khairi Amri bertindak sebagai moderator.


Mengulas lanjut, Shahrizan menegaskan, apabila sambutan raya dibuat secara berlebihan dikhuatiri umat Islam hanya memikirkan keseronokan semata-mata dan lebih teruk sekiranya raya diraikan dengan maksiat atau dosa.



"Sebenarnya raya ibarat kita keluar daripada bulan Ramadan seperti bayi yang baharu dilahirkan tetapi jika kita raikan ia secara berlebihan hingga buka ruang untuk kita tak jaga percakapan, tak jaga mata (pandangan), makan berlebihan yang membahayakan kesihatan dan membazir makanan, semua itu mengundang dosa.


"Jadi saya sarankan tolong konsisten. Rugi rasanya kalau kita dah jalani ibadah puasa selama sebulan namun tiba-tiba kita kembali kepada gaya hidup asal sebab Islam tak ajar begitu," ujarnya.


Katanya, Islam mengajar umatnya agar konsisten dalam beribadah dan beramal sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud 'Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit'.


Shahrizan menambah, puasa enam itu sendiri yang digalakkan Islam kepada umatnya membawa hikmah untuk mengehadkan umat Islam daripada makan berlebihan.


"Jadi kita kena tetapkan dari awal bila mahu buat puasa enam. Walaupun ada jemputan rumah terbuka hari raya, kita kena bijak untuk tetapkan hari-hari tertentu untuk berpuasa," kata beliau.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.