Header Ads

Toyota Perkenal Skim Langganan Kereta Patuh Shariah Pertama Seumpamanya Di Dunia

 


Awal tahun ini, Toyota Capital Malaysia telah melancarkan Kinto One, sebuah skim langganan kereta patuh Shariah pertama di dunia.


Menurut Presidennya Thomas Chai, ia merupakan satu usahasama di antara Toyota Capital Malaysia dan UMW Toyota Motor Sdn Bhd demi melihat kepada perubahan cara penggunaan kereta oleh generasi hari ini.


Menurutnya, sikap pemilik kereta hari ini telah berubah daripada pemilikan kereta kepada penggunaan kereta.



Secara mudah, ia memberi peluang kepada pengguna Toyota untuk menggunakan model Toyota tertentu untuk tempoh dua hingga tiga tahun kemudian dipulangkan kembali kepada Toyota setelah tamat tempoh tersebut dengan bayaran tetap untuk langganan bulanan.


Tambahan pula, skim seperti ini telah dilancarkan di beberapa negara lain seperti Amerika dan beberapa negara Asia.


Namun skim patuh Shariah ini dilancarkan khusus di Malaysia kerana kehendak pelanggan kepada produk patuh Shariah yang tinggi di sini.


Model yang ditawarkan setakat ini adalah Vios, Yaris, Corolla, Innova, Fortuner, Camry, dan Lexus. Mereka yang berminat boleh layari pautan: http://www.kinto-my.com/.


Antara perbezaan skim ini dengan skim biasa adalah tiada duit muka diperlukan, satu bayaran bulanan sahaja termasuk cukai jalan, Takaful, dan servis, dan tidak memberi kesan kepada CCRIS.



Menurut FAQ Kinto One, Toyota bertindak selaku pemilik akan menganggung kos servis selaku pengguna kereta, pengguna harus menanggung saman sekiranya ada dan tertakluk kepada peraturan yag ditetapkan oleh pemilik seperti tidak boleh mengubahsuai kereta dan kereta hanya boleh digunakan di dalam Malaysia.


Sekiranya berlaku kemaIangan atau kecurian pula, ia akan dilindungi oleh pelan Takaful.


Skim ini merupakan satu skim alternatif kepada mereka yang gemar menukar kereta. Dan yang paling penting sekali, ianya ditawarkan sebagai skim patuh Shariah yang bakal memberi manfaat kepada semua orang khususnya umat Islam di negara kita.


Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan pemegang sijil Islamic Financial Planner (IFP). Merupakan lepasan Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi Universiti Malaya.'

Sumber : Majalah Labur

No comments:

Powered by Blogger.