Mana mungkin kami jual ayam RM15 sekilogram, jual RM10 sekarang pun ramai bising, kata peniaga ayam

encik gotenks
0

Peruncit atau penjual ayam di negeri ini mendakwa yang mereka bukan suka-suka mahu menetapkan harga cekik daarah bagi sekilogram ayam standard sehingga RM15 sekilogram bulan depan.

Sebaliknya, rata-rata mereka mengatakan desas-desus mengenai penetapan harga baharu itu sudah kedengaran dan dijangka berlaku, namun tertakluk pada peringkat pengilang serta pembekal.

Ini berikutan harga apungan ayam ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.

Ketika ini, harga kawalan ayam standard yang ditetapkan kerajaan di peringkat pemborong adalah RM7.60 sekilogram, manakala harga runcit kekal RM8.90 sekilogram.

Peniaga ayam di pasar awam daerah Timur Laut, Mohamad Nasir Abdul Kalam, 31, berkata, dia menjangkakan hanya berlaku kenaikan antara RM11 hingga RM12 sekilogram di peringkat peruncit mulai 1 Julai nanti.

Katanya, keresahan mengenai perkara itu bukan sahaja dirasai pengguna malah peniaga turut berdepan kebimbangan memikirkan masalah tersebut.

“Mana mungkin peniaga menaikkan harga ayam RM15 sekilogram sedangkan ketika ini hendak jual RM10 sekilogram pun ramai yang bising.

“Kami kini risau dengan pihak pengilang atau pemborong sahaja. Kenaikan harga kebiasaannya akan mula di peringkat kilang yang juga pembekal. Sekiranya mereka naik, kami juga kena naik. Tetapi tidaklah sampai terlampau dan mendadak,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Nasrul, 45, pula membe­ritahu, memang ada desas-desus mengenai kenaikan harga runcit ayam dijangka sehingga RM15 sekilogram susulan penamatan subsidi penternak ayam bermula 1 Julai ini.

“Penternak dan pengilang ja­nganlah terlalu ambil kesempatan dengan ruang yang ada. Kami di peringkat peniaga dan pengguna nanti yang akan terkesan ­dengan kenaikan ini. Agak-agaklah jangan sampai RM15 sekilogram.

“Saya jangkakan, kenaikan hanya berlaku bawah RM14 seki­logram. Kerajaan perlu pantau dan jangan lepas tangan tentang isu harga ayam. Kami tidak mahu situasi menang-menang yang akhirnya membawa padah kepada peniaga kecil,” ujarnya.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! di pasar awam di daerah Barat Daya di sini semalam mendapati sebahagian peniaga mula menaikkan harga ayam standard kepada RM10 sekilogram termasuk ada yang mengenakan caj perkhidmatan sehingga RM2.20 sebelum penamatan skim harga maksimum runcit ayam pada penghujung bulan ini.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top