Pemain industri ayam ikut kepala sendiri, tidak ambil peduli soal harga siling ayam RM8.90 sekilogram

encik gotenks
0

PENAFIAN : GAMBAR YANG DIGUNAKAN DALAM ARTIKEL INI HANYA SEKADAR HIASAN

Harga ayam semakin tidak terkawal apabila mula dijual dari RM10.40 sehingga RM11.50 sekilogram, sekali gus melepasi had siling RM8.90 yang ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber industri berkata, kebanyakan pemain industri tidak mengambil peduli tentang harga barang makanan itu walaupun ia adalah barang kawalan.

Katanya, harga ayam naik melebihi kadar siling ditetapkan, malah ‘semakin mengarut’.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati peniaga tidak lagi mengendahkan pematuhan harga, sebaliknya bertindak menaikkannya sesuka hati.

“Daripada peringkat ladang, pembekal memperoleh ayam hidup dengan harga RM0.80 hingga RM1.50 untuk sekilogram iaitu peningkatan 20 peratus daripada harga ditetapkan.

“Harga sekarang pun dah naik tanpa mengikut harga kawalan. Rata-rata peniaga di pasar pun sudah menjual dengan harga RM10.40 hingga RM11.50 sekilogram.

“Tak perlu tunggu 1 Julai ini sebab subsidi untuk penternak pun memang ramai yang tidak dapat, apa mereka dapat hanyalah bonus sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, isu kenaikan harga ayam kembali hangat apabila pemain-pemain gergasi industri tersebut mengumumkan akan menaikkan harga ternakan itu di pasaran bermula Julai ini.

Ia sekali gus membuktikan industri itu masih dikuasai pihak swasta dan kerajaan seolah-olah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menstabilkan harga demi kepentingan pengguna.

Pengarah Nafas Food Processing and Marketing Sdn. Bhd., Shaqurrahman Shamsuddin berkata, bukti bahawa industri ayam masih dalam cengkaman pihak swasta jelas dilihat melalui sikap ‘besar kepala’ pemain gergasi industri ayam yang baru-baru ini secara terbuka mengumumkan bahawa mereka perlu menaikkan harga ayam bermula Julai susulan berakhirnya skim harga runcit maksimum.

Sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM720 juta kepada penternak ayam bagi memastikan harga ternakan itu kekal rendah dan mampu dibeli sebahagian besar rakyat, bagaimanapun ia gagal mengekang kenaikan harga barang makanan yang paling popular di negara ini.

Selain itu, mulai 1 Julai ini kerajaan juga akan menghentikan pemberian subsidi kepada penternak ayam, sebaliknya menyalurkan wang berkenaan kepada golongan B40.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini juga mengumumkan penglibatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) dalam keseluruhan ekosistem industri ayam sebagai usaha kerajaan menjamin sekuriti makanan negara.

Langkah kedua-dua pertubuhan yang masing-masing mempunyai seramai sejuta dan tujuh juta ahli melalui 14,835 koperasi diyakini berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan.

Dalam pada itu, sumber terbabit menambah, pelbagai alasan akan dikemukakan bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka untuk menaikkan harga ayam di dalam pasaran.

“Pelbagai alasan pasti diberi, antaranya pasti mengenai subsidi, masalah dedak ayam, kekurangan pekerja, anak ayam sakit dan sebagainya lagi.

“Harga akan meningkat hingga mencapai sasaran mereka iaitu ayam akan dijual dengan harga RM12 untuk sekilogram. Jika seekor mampu mencecah RM24,” jelasnya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top