RON97 terlalu kayangan, golongan T20 pemilik kenderaan mewah turut terkesan, kini lebih selesa pilih RON95

encik gotenks
0

PENAFIAN : GAMBAR YANG DIGUNAKAN DALAM ARTIKEL INI HANYA BERTUJUAN HIASAN SEMATA-MATA

Kenderaan mewah dan berprestasi tinggi kini terpaksa 'mengalah' apabila beralih kepada penggunaan RON95 berikutan harga RON97 naik mendadak sehingga RM4.83 seliter.

Tinjauan Harian Metro di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang mendapati pengguna pelbagai jenis kenderaan seperti Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Land Rover, BMW dan Mercedes-Benz memilih untuk mengisi petrol RON95 yang dijual pada harga RM2.05 seliter berbanding RON97.

Peniaga, Kelvin Ng, 36, mengakui menjadi pengguna setia RON97 sejak tiga tahun lalu, tetapi kini bertukar kepada RON95 disebabkan harga yang terlalu mahal dan di luar kemampuannya.

"Walaupun berat hati dan sayangkan enjin kereta bila pakai RON95 kerana kualitinya berbeza berbanding RON97, saya tiada pilihan sebab tak mampu lagi buat masa ini.

"Bayangkan tangki berkapasiti kira-kira 60 hingga 70 liter kalau isi petrol RON97 dengan kapasiti penuh boleh mencecah kos hampir RM280 hanya untuk penggunaan seminggu dan ia sangat tidak berbaloi," katanya.

Perasaan sama juga dikongsi kontraktor, Mohd Amir Asyraf, 41, yang kini kembali menggunakan RON95 untuk kereta BMW dipandunya sejak bulan lalu.

"Bila tukar kepada RON95, saya boleh jimat RM600 hingga RM700 sebulan. Jumlah itu boleh beli barang asas dapur untuk kami sekeluarga sebulan.

"Tetapi saya akan mempertimbangkan kembali untuk menggunakan RON97 jika harganya lebih berpatutan kelak," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha minyak di Subang Jaya yang enggan dikenali mengakui penjualan RON97 menurun sehingga 50 peratus berikutan peningkatan bahan bakar berkenaan.

"Sejak harga RON97 meningkat bermula dengan harga RM4.08 dan terbaharu RM4.83 memang kadar penjualan RON97 berkurangan.

"Ramai pelanggan memilih untuk mengisi RON95 kerana kerajaan menetapkan harga siling kepada RM2.05 seliter," katanya.

Sumber artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top