Jatuh di tandas bilik hotel di Makkah, Fatin diramalkan terlantar seumur hidup

0

 


Fatin Amirah Rosli, jemaah umrah Malaysia yang rebah di Mekah masih belum sedarkan diri dan diramalkn terlantar seumur hidup.


Kakak kepada Fatin Amirah, Fatin Amalina, 29, mendedahkan sejak pulang ke negara ini Sabtu lepas, adiknya kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor.


"Keadaannya masih sama (koma). Tiada respons apabila kita bercakap.


"Hanya mata sahaja berkelip.


"Menurut prognosis doktor di Makkah dan Malaysia, Fatin Amirah akan terbaring sahaja sepanjang hayat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan ujian menimpa selain mengharapkan keajaiban buat adiknya itu.


"Kami belum ada sebarang perancangan, segalanya bergantung kepada keputusan doktor.


"Apapun kami reda dengan ujian Allah beri ini dan mengharapkan yang terbaik untuk Fatin Amirah," katanya.


Katanya, Fatin Amirah, 26, dan bapa mereka, Rosli Nawi, 56, pulang ke tanah air dengan menggunakan penerbangan khas dari Jeddah ke Subang, Sabtu lalu, selepas mendapat kebenaran doktor di King Abdullah Medical City.


"Alhamdulillah, mereka selamat tiba Malaysia dengan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang berjaya dikutip dalam tempoh 24 jam selepas kisah Fatin Amirah disiarkan di Harian Metro.


"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan menghulurkan pelbagai bantuan sejak Fatin Amirah dirawat di Makkah lagi.


"Hanya Allah dapat membalas budi kalian semua," katanya.


Fatin Amirah tidak sedarkan diri akibat terjatuh di tandas bilik hotel, Makkah, 29 Disember lalu.


Sebelum insiden itu, Fatin Amirah menunaikan umrah bersama bapanya serta dua adik lelakinya sejak 20 Disember lalu dengan misinya mahu menunaikan nazar arwah ibu mereka yang meninggal dunia, Julai tahun lalu.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top