Rasa macam mimpi PM10 datang makan cendol, kata Ahmad Dani

OhMyPress
0

 


Pengusaha Cendol Songkok Tinggi Ahmad Dani Daud, 42, rasa bagaikan bermimpi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang berkunjung ke kedainya di Kampung Jiboi Baru di sini pada Jumaat.


Anwar yang memakai baju Melayu warna hijau lembut singgah menjamu selera di gerai yang terkenal dengan pelbagai jenis cendol itu pada jam 12.35 tengah hari sebelum bergerak ke Masjid Dato Klana Petra Mohd Yusof di sini untuk menunaikan solat Jumaat.


Menurut Ahmad Dani, dia diberitahu secara rasmi akan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu dua hari lalu.


"Perasaan saya waktu itu bercampur baur, gembira, bangga dan cemas pun ada apabila Perdana Menteri nak datang bersama rombongannya di kedai saya.


"Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri datang makan di kedai kami yang mana biasanya hanya golongan selebriti saja yang datang seperti Datuk Rahim Razali, Hail Amir dan Uji Rashid,"katanya.


Ujarnya, dia mula menjalankan perniagaan cendol secara katering pada tahun 2010 sebelum membuka kedai pada 2017.


Tambahnya, ia pada awalnya dibuat secara suka-suka untuk dijadikan 'port' orang ramai khususnya geng pencen untuk mengisi masa lapang.


"Kedai kami mula dikenali dari mulut ke mulut dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan agak menggalakkan.


"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi datang ke kedai kami dan ini merupakan sejarah dan kebanggaan buat warga Cendol Songkok Tinggi kerana dapat menjamu orang ternama," katanya.


Ahmad Dani berkata, bagi memastikan kelancaran operasi gerainya ketika kunjungan Perdana Menteri, beliau mengupah 10 pekerja tambahan bagi membantu enam pekerja sedia ada yang telah membuat persiapan sejak Rabu lalu.


Selain cendol yang merupakan menu utama kedai itu, Anwar turut mencuba beberapa juadah lain termasuk mi rebus Johor, laksa Johor dan jemput-jemput.


Kehadiran pemimpin nombor satu negara itu diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.


Selain itu orang ramai turut tidak melepaskan peluang untuk menemui dengan Anwar dan telah mula berkumpul di situ sejak jam 11 pagi.

Sumber : Sinar Harian

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top