Saya dah tegur tapi peniaga tetap enggan turun harga makanan, kata Menteri Ekonomi

0


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.


Beliau berkata, kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.


"Kadang-kadang, itu orang marah apabila harga bahan mentah (semakin turun), harga (bil) elektrik tidak naik, semuanya dikekalkan, tetapi harga barang daripada peruncit, restoran dan gerai tidak turun.


"Kita juga perlukan supaya yang mana boleh turun, kita turunkan dan yang mana boleh kurang, kita kurangkan.




"Setakat ini, semua yang lain menunjukkan penurunan kecuali untuk beli makanan yang sudah siap daripada restoran dan gerai serta ‘take away’ ke rumah masih naik walaupun harga bahan mentah telah turun,” katanya kepada pemberita hari ini.


Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini.


Katanya, pengguna juga perlu bertindak lebih proaktif terhadap perubahan harga barangan dengan mengelak daripada berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.


"Pengguna perlu bertindak balas dengan lebih cepat terhadap perubahan harga. Itu cara terbaik untuk kita mempengaruhi keputusan peniaga terutamanya di restoran,” katanya.




Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata, rakyat perlu mempunyai keyakinan bahawa sistem ekonomi yang diimbangi oleh kerajaan yang diwakili golongan politik dan ahli ekonomi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dalam beberapa keputusan seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah yang terbaik dengan mengambil kira semua faktor.


Katanya, pihaknya yakin keputusan BNM berkaitan OPR telah mengambil kira kepentingan jangka masa panjang, jangka masa pendek dan kepentingan rakyat pada masa depan.


Pada Khamis, BNM pada menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari membuat keputusan dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.


Bagaimanapun, terdapat pakar ekonomi yang menjangkakan akan berlakunya lagi peningkatan OPR pada tahun ini. - Bernama

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top