Saya pelik kenapa timbul isu hamba abdi, saya layan penghuni Rumah Bonda macam keluarga sendiri, kata Siti Bainun

0

 




Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memaklumkan tidak tahu dari mana datangnya dakwaan perlakuan 'hamba abdi' di rumah kebajikan itu kerana beliau sendiri melayan semua penghuni sama rata seperti darah daging sendiri.


Siti Bainun, 31, berkata dia cuba memenuhi keperluan dan kemahuan semua penghuni itu termasuk saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 20, sebaik mungkin mengikut kemampuannya.


"Makanan semua saya atau Eyna (salah seorang penghuni dewasa) sudah masak siap-siap. Kalau ada permintaan lauk lain (daripada) anak (penghuni) pun saya buatkan.


"Kalau ada duit lebih saya belikan makanan yang mereka mahu. Saya juga belikan anak-anak saya (penghuni) barang kemas jika ada wang tambahan termasuk Yasmin.


"Saya anggap Yasmin ini macam anak saya sendiri dan dia memang sayangkan saya dan adik-adiknya (penghuni lain)," katanya ketika membacakan pernyataan saksi dalam prosiding bela dirinya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.



Siti Bainun menjawab tuduhan Yasmin pada prosiding pendakwaan sebelum ini yang mendakwa mendapat layanan buruk dan dijadikan hamba abdi di rumah kebajikan itu.


Sama seperti ibu bapa lain, Siti Bainun berkata, dia memang menerapkan asas didikan pengurusan rumah termasuk mengurus diri sendiri.


"Sama macam rumah lain juga, semua anak-anak (penghuni) saya ajar urus diri sendiri kecuali yang kecil atau bayi.


"Saya ajar mereka perkara asas disiplin dan tanggungjawab di rumah macam basuh dan sidai baju dan kemas tilam. Sama macam mana-mana ibu bapa lain.


"(Penghuni) dewasa dan kakak macam Aida, Balqis dan Yasmin tolong beri susu, bermain dengan bayi, mereka juga boleh uruskan mandi bayi, pakai baju, kemas pinggan mangkuk sendiri serta sapu sendiri rumah kalau nasi tumpah. Itu saja," katanya.


Siti Bainun berkata, dia berjaya membuktikan tuduhan terhadapnya cuma rekaan semata-mata kerana penderaan tidak berlaku, selain Yasmin serta penghuni lain hidup dalam keadaan baik dan gembira.


"Saya sudah buktikan semua cerita dan bukti saya adalah konsisten.


"Pertama, diari Yasmin menunjukkan dia dan adik-adik dilayan dengan baik seperti keluarga dan saya menyayangi mereka semua.



"Kedua selepas pulang dari hospital selepas (rawatan) COVID-19, saya tidak pernah lari dan maklumkan sendiri kepada polis saya sudah pulang ke rumah dan sudah berikan kerjasama semasa siasatan dan prosiding mahkamah.


"Jadi, saya tidak tahu dari mana datangnya hamba abdi dan saya pasti cerita ini hendak beri mahkamah percaya karakter saya sedemikian dan untuk pengaruhi orang ramai serta menjadi satu cerita sedap untuk sosial media," katanya.


Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.


Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Perbicaraan bela diri Siti Bainun di depan Hakim Izralizam Sanusi akan bersambung pada 20 Februari depan.


Sumber : Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top