Gagal bayar nafkah, akaun bank boleh disekat, kata Mohd Na'im

0

 


Mana-mana suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah untuk isteri dan anak bakal berdepan akaun bank mereka disekat.


Tindakan ini diambil bertujuan memastikan isteri, bekas isteri serta anak tidak dizalimi oleh suami atau bapa yang culas itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.


Mohd Na’im berkata, pihaknya dalam proses untuk melaksanakan tindakan itu dan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia dan institusi bank telah dibuat untuk merealisasikannya.




Ketika ini, ,kata beliau JKSM sedang mempersiapkan pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BKS) dengan kemahiran yang betul supaya tidak melakukan kesilapan dalam membuat penguatkuasaan dan pelaksanaan berkaitan sekatan akaun tersebut.


Tambah beliau, pemerkasaan kemahiran perlu ada dalam kalangan pegawai agar usaha menyekat akaun suami yang culas akan dilaksanakan secara adil dan saksama, lapor Sinar Harian.


“Kita akan pastikan pegawai di BKS yang bertanggungjawab menguatkuasa dan melaksanakan perintah nafkah ini untuk mendapatkan latihan yang secukupnya,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas menjadi panel pembentang Kolokium Perundangan dan Kehakiman Syariah Tahun 2021 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak di Ipoh hari ini.


Perasmian kolokium tersebut disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mewakili Menteri Besar Perak.


Turut hadir Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. –BebasNews

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top