Pengguna wajib tunjuk kad pengenalan jika mahu beli minyak masak bersubsidi

0

 


DENPASAR, BALI: Pengguna di Indonesia perlu memaparkan kad pengenalan mereka semasa membeli minyak masak bersubsidi, MinyaKita.


Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan, berkata bahawa langkah ini penting untuk mengelakkan masyarakat membeli minyak masak secara berlebihan.


Beliau berkata, meskipun dibenarkan membeli bungkusan minyak dalam jumlah yang lebih besar, tetapi ia tidak boleh dijual semula.


"Mereka dibenarkan membeli sehingga lima kilogram, asalkan tunjuk kad pengenalan dan tidak boleh membeli secara berlebihan untuk tujuan penjualan semula," katanya ketika melawat Pasar Kreneng di sini bagi meninjau harga komoditi seperti dilaporkan antaranews.com.


Zulkifli juga menggesa peniaga supaya tidak menjual produk MinyaKita melebihi harga runcit tertinggi iaitu Rp14,000 (RM3.78) seliter, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, atau kedai mereka akan ditutup oleh Pasukan Petugas Makanan.


Katanya, kerajaan dan pengeluar bersetuju menambah bekalan minyak masak iaitu daripada 300,000 tan sebulan kepada 450,000 tan.


"Kami juga mengurangkan (bekalan) ke pasar raya moden dan pasar dalam talian. Bekalan kini (diutamakan) kepada pasar (tradisional)," katanya sambil menambah bahawa pasar tradisional akan diutamakan untuk bekalan sekurang-kurangnya sehingga Aidilfitri pada April depan.



Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi berkesan Datuk Bandar Denpasar I Gusti Ngurah Jaya Negara dalam mengawal harga makanan asas di bandar itu.


"Pihak berkuasa Denpasar memantau harga barangan keperluan asas setiap hari dan memberikan subsidi kepada peniaga untuk membantu menstabilkan harga," katanya.

Dalam tinjauan itu, minyak masak MinyaKita dijual pada harga tetap yaitu Rp14,000 setiap liter, sementara produk minyak masak premium lain berharga antara Rp16,000 (RM4.34) hingga Rp17,000 (RM4.60) setiap liter. - AGENSI

Sumber :Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top